PETALING JAYA – Sebahagian pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjoli sakan apabila membelanjakan duit daripada Akaun Fleksibel untuk membeli barangan bukan keperluan atas alasan sudah lama hidup dalam serba kekurangan.
Seperti sudah diduga, mereka yang mengeluarkan wang itu untuk perkara yang tidak penting merupakan golongan berusia dalam lingkungan 20-an apabila membeli kasut, bercuti ke luar negara, menukar sport rim kereta, tiket konsert, telefon bimbit dan lain-lain.
Tinjauan mendapati, mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an pula memilih untuk membelanjakan wang tersebut untuk keperluan rumah atau keluarga.
Seorang kerani swasta yang ingin dikenali sebagai Nurul Atikah, 25, berkata, dia sudah lama berhajat membeli kasut berjenama untuk bersukan dan keperluan harian hasil daripada wang Akaun Fleksibel RM2,500.
“Saya mahu beli tiket konsert artis Korea Selatan di Malaysia tidak lama lagi. Kalau hendak harap gaji RM1,800 sebulan, memang kena tunggu lama.
“Gaji pula bayar sewa rumah, pengangkutan dan makan. Memang mustahil mahu miliki barang mewah tetapi bila dapat wang KWSP, saya gunakan untuk beli barangan berjenama sedikit kerana ia hasil titik peluh saya sendiri,” katanya yang menetap di Sungai Buloh, Selangor.
Pegawai teknologi maklumat dari Selayang, Abdul Salim, 29, berkata, dia mahu membawa keluarganya bercuti ke Vietnam dengan wang Akaun Fleksibel.
“Inilah masa untuk gembirakan keluarga kecil saya selepas lima tahun bekerja. Memang duit itu untuk hari tua tetapi sejak bernikah dua tahun lalu, saya tidak pernah bawa isteri melancong,” katanya.
Ujar Ahmad Faisal, dia tidak risau berhabis kerana wang boleh dicari dan apa yang penting ialah membuatkan keluarganya bahagia dan gembira.
Pembantu teknikal, Adam Daniel, 27, pula berkongsi dia menggunakan wang itu untuk menukar sport rim kereta yang sudah pecah.
“Ahli keluarga dan rakan-rakan mengecam tindakan saya kerana beli sport rim guna wang KWSP. Saya ada alasan tersendiri dan ia mendesak kerana rim lama sudah lama pecah,” katanya.
Menurut Adam Daniel, dia mementingkan sport rim berkualiti untuk tahan selama lima ke enam tahun dan ada rakannya yang menukar aksesori sama kerana mahu merasa memasang sport rim dan kelihatan bergaya.
Pembantu kedai roti, Siti Faridah, 32, berkata, dia akan menggunakan wang Akaun Fleksibel untuk membeli peti ais di rumahnya.
“Saya dan suami hidup tanpa peti ais sejak setahun lalu selain terpaksa beli makanan luar kerana tiada ruang penyimpanan barang basah.
“Jadi bila dapat duit, saya mahu beli peti ais sebab tidak sanggup lagi makan di luar setiap hari. Kalau masak sendiri boleh jimat,” katanya.
Tambahnya, selain itu dia akan membeli barangan kemas jika ada lebihan daripada baki Akaun Fleksibel yang telah dipohonnya baru-baru ini selepas mendapatkan peti ais.














