fbpx
Orang ramai membuat urusan pemindahan caruman di kaunter pejabat KWSP, Kuala Terengganu semalam.

Serbu KWSP lepas subuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai semalam menyerbu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membuat permohonan untuk melakukan pemindahan wang daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

Walaupun permohonan itu boleh dibuat secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun, namun pencarum tetap mengunjungi pejabat KWSP untuk memeriksa baki simpanan, membuat pertanyaan lanjut dan mengemas kini kata laluan.

Tinjauan Kosmo! di pejabat KWSP di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu semalam mendapati, ada pencarum yang sanggup datang seawal subuh sebelum pejabat KWSP memulakan operasi pada pukul 8.30 pagi.

Di Alor Setar, seorang pen­ca­rum, Noor Zanariah Yaakob, 33, dari Changlun berkata, dia bersama dua rakannya ke pejabat KWSP untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan urusan pemindahan wang berkenaan.

“Datang sebab tidak berapa pasti cara nak pindah duit daripada Akaun Sejahtera. Di sini kami diberi tunjuk ajar, mudah dan sudah selesai urusan. Sekarang tunggu duit masuk ke dalam akaun ketiga sahaja.

“Saya tidak mahu melengahkan pemindahan ini sebab memerlukan wang untuk keluarga.

“Ini satu langkah yang baik, daripada orang ramai pinjam duit along, lebih baik ambil duit mereka sendiri,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang operator kilang, Aziz Ahmad, 45, memberitahu, dia mengambil cuti semalam ­semata-mata mahu menguruskan pemindahan akaun tersebut.

“Adalah sedikit wang dalam akaun kedua saya itu yang boleh dipindahkan dan digunakan bagi keperluan keluarga termasuk keperluan sekolah anak-anak,” ujarnya dari Pendang.

Bagi K. Lechumy, 50, pula, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk memindahkan wang itu yang ingin digunakan untuk perbelanjaan anak di universiti.

“Ada anak saya yang masih belajar di universiti dan memerlukan banyak wang, jadi saya ke­luarkan wang ini untuk keperluan mereka. Rasa lega sangat tidak perlu lagi memikirkan macam mana nak cari wang,” katanya.


NOOR ZANARIAH (kanan) bersama dua rakannya menunjukkan risalah permohonan pemindahan caruman di pejabat KWSP Alor Setar semalam.

Dalam pada itu, seorang kakitangan pejabat KWSP di Alor ­Setar berkata, terdapat pen­carum yang datang ke pejabat ber­kenaan seawal subuh.

“Kami datang awal untuk membuat persiapan dan saya lihat ada yang sudah menunggu di pagar seawal subuh walaupun pejabat dibuka pada pukul 8.30 pagi,” katanya.

Di Kota Bharu, lebih 200 pencarum datang ke pejabat KWSP sebelum premis dibuka dan sanggup beratur panjang.

Seorang pencarum, Siti Maizatul Adnan, 25, berkata, dia ke pejabat KWSP untuk membuat semakan kelayakan simpanan di Akaun Sejahtera sebelum dipindahkan ke akaun baharu.

“Saya difahamkan, proses pemindahan simpanan itu mengambil masa selama lima hari sebelum pemindahan wang ke Akaun Fleksibel. Jumlah wang pula bergantung simpanan sedia ada,” ujarnya.

Siti Azmira Khazmi, 37, pula berkata, pemindahan simpanan ke Akaun Fleksibel disifatkan sebagai langkah awal untuk me­lakukan pengeluaran apabila berlaku kecemasan.

“Langkah ini sangat perlu terutamanya semasa kecemasan. Simpanan dalam Akaun Flek­sibel boleh digunakan pada bila-bila masa selepas ini,” ujarnya

Di Kuala Terengganu, rata-­rata pencarum yang ditemui mahu memindahkan caruman mereka dalam Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

Zairul Hambali, 45, berkata, dia sanggup beratur panjang di pejabat KWSP asalkan dapat ke­terangan jelas daripada pegawai.

“Akaun Fleksibel ini perkara baharu, jadi saya perlu penjelasan lanjut. Kalau lakukan menerusi aplikasi, saya takut ter­silap,” ujarnya.

Tambahnya, dia mahu segera memindahkan wang ke Akaun Fleksibel agar dapat digunakan segera bagi menampung kos sara hidup.

Yaakob Md. Ali, 48, berkata, dia mahu memindahkan carumah itu sebagai persiapan jika anak sulungnya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan 27 Mei ini, insya-­Allah jika rezeki anak saya, dia akan mula masuk IPT beberapa bulan kemudian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN