fbpx

53 kes pecah amanah jenayah babitkan peguam bernilai RM54 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Ramli.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 53 kes pecah amanah membabitkan peguam dianggarkan bernilai RM54.96 juta sepanjang tahun 2023 hingga 15 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohamed Ramli Yoosuf berkata, jumlah itu melibatkan 31 kes dengan kerugian RM35.9 juta pada tahun lalu.

Sementara itu, sebanyak 22 kes lagi bernilai RM19.05 juta disiasat sejak awal tahun hingga Rabu lalu.

Antara kes menarik melibatkan satu laporan polis dibuat oleh seorang pengarah syarikat berusia 53 tahun di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 15 Mei lalu yang didakwa ditipu oleh sebuah firma guaman dalam urusan pembelian tanah di Plentong, Johor dengan kerugian RM4.8 juta.

“Berdasarkan laporan, pada sekitar bulan Jun 2018, syarikat pengadu telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat lain untuk pembelian 55 ekar tanah dengan nilai RM40 juta.

“Setelah perbincangan dibuat, pihak pengadu telah membuat pembayaran deposit sebanyak RM4.8 juta ke akaun firma guaman yang dilantik oleh syarikat penjual.

“Seterusnya, pada bulan Ogos 2018, peguam pengadu telah membuat carian rasmi ke atas tanah tersebut dan didapati terdapat satu kaveat persendirian baharu telah dimasukkan oleh sebuah syarikat lain,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Menurut Ramli, pengadu juga telah menerima surat daripada peguam syarikat penjual yang mengarahkan pengadu untuk membatalkan kaveat persendirian syarikat pengadu terhadap tanah tersebut pada September 2018.

Pihak penjual juga telah memulakan prosiding mahkamah terhadap pengadu dan keputusan mahkamah mendapati wang deposit RM4.8 juta yang dibayar oleh pengadu melalui firma guaman yang dilantik oleh penjual telah tiada dalam akaun firma guaman tersebut.

Mahkamah juga mendapati kesemua wang tersebut telah dibelanjakan oleh firma guaman berkenaan melalui 100 keping cek dan bank deraf.

“Dalam kes berasingan, kita menerima laporan polis daripada pengarah syarikat berusia 60 tahun di Sungai Buloh, Selangor yang mendakwa telah ditipu seorang peguam bergelar ‘Datuk’ untuk menguruskan saman sivil terhadap sebuah institusi perbankan kerana menaikkan kadar faedah pinjaman syarikat pengadu.

“Setelah berbincang, pengadu telah membuat bayaran kos guaman sebanyak RM3.73 juta ke dalam akaun firma guaman tersebut,” ujarnya.

Seterusnya, pengadu telah mengarahkan peguamnya membatalkan tindakan saman tersebut kerana institusi perbankan berkaitan telah bersetuju untuk menurunkan kadar faedah pinjaman syarikatnya pada Februari lalu.

“Pengadu meminta agar kos guaman yang telah dibayar sebelum ini dipulangkan semula.

“Pihak peguam memaklumkan terdapat caj perkhidmatan guaman sebanyak RM521,498 dan pengadu hanya akan mendapat baki wang tersebut iaitu RM3.2 juta.

“Pengadu bersetuju dengan syarat tersebut namun sehingga kini pengadu tidak menerima pemulangan wang yang dijanjikan,” jelasnya.

Menurut beliau, kedua-dua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI