fbpx

Selebriti dunia mula terasa bahang ‘Block Out 2024′

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUPERMODEL Gigi Hadid turut hadir pada acara Met Gala 2024. - AFP

WASHINGTON – Selebriti terke­nal di seluruh dunia yang terus berdiam diri mengenai perang Israel di Gaza mula merasai bahang kemarahan peminat menerusi kempen memulaukan mereka di media sosial dan platform penstriman.

Gerakan tersebut dikenali sebagai Block Out 2024 ataupun Digital Guillotine.

Bintang pop, Taylor Swift, pe­nyanyi rap, Drake serta ramai lagi selebriti lain telah menjadi sasaran kempen tersebut yang bermula di platform TikTok.

Gerakan itu adalah tindak balas terhadap acara fesyen gilang-gemilang dan penuh glamor dinamakan Met Gala yang berlangsung di Bandar Raya New York baru-baru ini, di tengah-tengah penderitaan penduduk Palestin akibat serangan Israel.

Selama berbulan-bulan, ­aktivis pro-Palestin membanjiri ruangan komen di laman media sosial untuk meminta aktres, penyanyi popular dan selebriti lain supaya bersuara dan mendesak gencatan senjata dilaksanakan di Gaza.

Desakan mereka mencapai kemuncak selepas penganjuran Met Gala 2024 iaitu majlis kutipan derma penuh megah dan malam gala industri fesyen. Ia menampilkan bintang ‘kelas A’ dunia perfileman, pementasan, sukan dan peragaan.

Pada acara tersebut, pesohor media sosial, Haley Kalil menyiar­kan video di platform TikTok menunjukkan dia mengajuk ­ungkapan Permaisuri Perancis, mendiang Marie Antoinette: ‘Biar mereka makan kek’.

Frasa tersebut melambangkan sikap tidak peduli bangsawan Perancis pada abad ke-18 terhadap golongan miskin yang kelaparan. Netizen mengaitkan kenyataan Kalil sebagai enggan mempedulikan nasib penduduk Palestin dan konflik di Gaza.

Bintang TikTok, ladyfromtheoutside yang memulakan gerakan Block Out 2024 kemudian membalas dengan berkata: “Kini, tiba masa untuk kita melaksanakan apa yang saya gelar ‘digital gilotin’ jika anda mahu.”

Ia merujuk kepada pisau gilotin yang digunakan untuk melaksanakan hukuman mati semasa Revolusi Perancis.

“Anda (selebriti) akan hilang tontonan (view) kami, tanda suka (like), komen dan wang kami,” tambahnya.

Mesejnya tersebar meluas dan digunakan sebagai seruan untuk gerakan pro-Palestin, manakala petunjuk awal setakat ini menunjukkan kempen boikot itu mula memberikan kesan.

Bintang realiti, Kim Kardashian yang menghadiri Met Gala 2024 telah kehilangan beratus-ratus ribu pengikutnya di laman Instagram sejak beberapa hari lalu, demikian menurut laman analisis, Social Blade.

Swift yang tidak menghadiri Met Gala kerana memberi tum­puan kepada konsert Jelajah Eras, turut hilang lebih 200,000 pengikut sejak Khamis lalu.

Sementara itu, seorang profesor di Universiti Essex yang mengkaji bidang aktivisme selebriti, Natasha Lindstaedt berkata, kehilangan peminat itu berlaku dalam tempoh masa singkat dan mungkin tidak akan berpanjangan.

“Kadangkala, kita membuat keputusan berdasarkan emosi terhadap sesuatu isu.

“Sekiranya seseorang selebriti tidak sehaluan dengan pandangan kita, kita enggan lagi mengikuti mereka, namun ia mungkin bertahan hanya untuk seketika,” katanya kepada AFP.

Fenomena itu dikenali dalam kalangan ahli akademik sebagai ‘slacktivisme’ iaitu menggunakan tindakan online berisiko rendah seperti memuat naik ‘meme’ atau menyukai hantaran, atau memilih untuk tidak lagi mengikuti bintang kegemaran demi matlamat politik.

Namun, tindakan lebih bijak, katanya, adalah tidak mudah melatah. Sebilangan selebriti lebih memilih untuk membiarkan sahaja kempen tersebut sehingga ia berlalu. Ini memandangkan sifat sensitif konflik Gaza telah terbukti berbahaya untuk ramai bintang.

Contohnya, pelakon dan pemenang anugerah Oscar, Susan Sarandon baru-baru ini digugurkan oleh agensi bakat, UTA selepas bercakap dalam satu perhimpunan pro-Palestin pada bulan November tahun lalu.
Baru-baru ini juga, pelawak berbangsa Yahudi, Jerry Seinfel turut berdepan kecaman kerana mengaitkan dirinya dengan sokongan kepada Israel. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI