fbpx
Gambar hiasan

Kempen suram beri kelebihan kepada calon PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Suasana kempen yang suram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dijangka memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Ia berikutan, calon PH, Pang Sock Tao yang menampilkan politik baharu dan matang me­nerima sambutan menggalakkan daripada pengundi berbanding calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang hanya bergantung kepada faktor ‘anak tempatan’ untuk meraih sokongan.

Sock Tao juga mempunyai ke­lebihan untuk menerajui Kuala Kubu Baharu dengan membawa dasar pembangunan ekoran kedudukannya bersama parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengikuti perjalanan kempen sejak 27 April lalu, Khairul Azhari dilihat sukar menangani kontrovesi terkait dengan beliau membabitkan isu pendidikan dan juga peribadi apabila didakwa mempunyai sejumlah hutang.

Bagaimanapun, serangan yang dibuat ke atas Sock Tao dibalas sempurna apabila beliau mempamerkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang selain tidak pernah membangkitkan isu perkauman mahupun agama.

Hadir dalam ceramah kelompok dan perdana yang diadakan pada minggu kedua, ucapan pemimpin PN tertumpu de­ngan membuat serangan kepada kerajaan dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala PH yang memfokuskan tentang permasalahan setempat dilihat lebih disenangi rakyat.

Selain Sock Tao dan Khairul Azhari, PRK Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertembungan empat penjuru turut melibatkan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Bagi Hafizah dan Ke Xin, kempen mereka dilihat bergerak dengan kadar yang sangat perlahan dan hanya dimulakan pada ­minggu kedua dengan melancarkan bilik gerakan selain mendekati pengundi di kawasan utama.

Kehadiran dua calon bertan­ding dijangka tidak memberi kesan kepada PH dalam keputusan PRK Kuala Kula Kubu Baharu.

Untuk rekod, terdapat seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN Kuala Kubu Baharu, dengan 50 peratus merupakan pengundi Melayu, Cina (30 peratus) dan India (18 peratus), manakala baki­nya meliputi penduduk Orang Asli.

Dalam pada itu, tindakan segelintir pemimpin parti India membuat kenyataan untuk memboikot calon Kerajaan Perpaduan ternyata memberi impak pada awalnya, namun penglibatan MIC menerusi Barisan Nasional (BN) dilihat mampu mengatasi perkara tersebut.

Biarpun kadar peratusan keluar mengundi 11 Mei dijangka rendah, kelebihan masih memihak kepada PH, namun tidak menolak majoriti undi yang diraih menurun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN