fbpx

Isi dadah dalam bongkah lilin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein (dua dari kanan) menunjukkan bekas tin digunakan suspek bagi menyeludup keluar syabu pada sidang akhbar di IPK Selangor hari ini. - Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS / KOSMO!

SHAH ALAM – Taktik sindiket mengisi dadah dalam bongkah lilin untuk dibawa ‘terbang’ bagi tujuan penyeludupan berjaya dibongkar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal bulan ini.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6.45 pagi, 1 Mei lalu itu berjaya merampas keseluruhan 24 kilogram (kg) syabu bernilai RM768,000, manakala empat lelaki tempatan dipercayai keldai dadah berusia 25 hingga 55 tahun ditahan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati mendapati syabu tersebut dibawa dari Sarawak bagi pasaran di sekitar negara ini.

Katanya, ketika tangkapan dibuat didapati keempat-empat suspek berkenaan sedang menunggu masa untuk pulang semula ke Sarawak.

“Kita berjaya merampas 6 kg syabu di dalam bekas tin di terminal lapangan terbang itu.

“Soal siasat terhadap suspek kemudiannya membawa serbuan ke atas sebuah bilik hotel di kawasan KLIA dan merampas 18 kg syabu yang disembunyikan di dalam enam bekas tin bongkahan lilin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Hussein menunjukkan dua individu yang dikesan pihaknya bagi membantu siasatan kes tersebut. – Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS / KOSMO!

Menurut beliau, ini merupakan antara modus operandi terbaharu sindiket dengan lilin tersebut dicairkan sebelum dimasukkan dadah-dadah tersebut.

Tambah Hussein, hasil siasatan juga mendapati setiap keldai dadah itu akan diupah RM1,000 bagi setiap penghantaran.

Kata Hussein, polis kini turut mengesan dua lagi individu dikenali Kee Wei Wei, 30, yang beralamat di Kuala Lumpur dan Chew Ching Sing, 44, yang beralamat di Sibu, Sarawak bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Mohamad Farizi Ramlee di talian 014-3145347,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI