KEMEGAHAN Gua Bukit Keteri, Chuping, Perlis yang berketinggian 131 meter membuatkan para peserta teruja untuk menawannya saat tiba di kaki bukit tersebut.
Biarpun takut dengan ketinggian, namun penulis ingin tahu keadaan di dalam gua batu kapur yang dikatakan memiliki luas sehingga boleh memuatkan sebuah jet jumbo.
Sebelum aktiviti memanjat tebing gua dimulakan, para peserta dipakaikan abah-abah dan kelengkapan keselamatan oleh pihak Hermission House.
Satu tip untuk atasi gayat adalah dengan memberi sepenuh kepercayaan kepada kekuatan kelengkapan keselamatan.
Setelah berhempas-pulas memanjat dinding gua tanpa sekalipun melihat ke bawah, penulis akhirnya tiba di hadapan pintu masuk gua itu.
Panorama sawah padi menghijau cukup memukau dapat dilihat dari pintu masuk gua yang berada pada ketinggian 65 meter.
Keadaan dalam gua sangat luas dan memiliki ruang-ruang kecil yang akan membawa peserta ke bahagian dalam gua.
Sebaik masuk, terdapat dua laluan untuk ke tingkap gua iaitu Mata Timur dan Belly Button.
Menariknya, di tingkap Belly Button, peserta boleh melihat pemandangan masjid, jalan raya dan kehidupan harian penduduk di sekitar.
Melangkah terus ke ruang lebih dalam, peserta menembusi bahagian sebelah lagi yang dipanggil sebagai Robot Wall.
Untuk makluman, Gua Bukit Keteri terhasil daripada pembentukan lapisan batu kapur Formasi Chuping itu berusia kira kira 290 juta tahun.
Sementara itu, Pengasas bersama Hermission House, Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd. Thalal Wafa berkata, peserta berpeluang meneroka gua batu kapur tersebut.

“Untuk Robot Wall Adventure, peserta akan dibawa menerokai tiga tingkap iaitu Mata Timur, Belly Button dan Robot Wall dengan keluasan keseluruhan 1,600 meter persegi.
“Peserta juga akan dibekalkan dengan kelengkapan keselamatan, kit kecemasan serta dibimbing kru-kru berpengalaman,” katanya.
Setelah selesai meneroka, peserta dibawa turun dengan menggunakan pintu masuk yang sama.
Pakej Robot Wall Adventure akan disertakan sekali dengan tawaran aktiviti di Tasik Timah Tasoh seperti kayak atau stand up paddle.
Selain itu, Gua Bukit Keteri menawarkan lebih daripada 50 laluan pendakian bagi penggemar aktiviti panjat tebing.
Namun, pakej yang ditawarkan pihak Hermission House di Bukit Keteri hanya terbuka kepada pemanjat peringkat lanjutan dan pertengahan.
Bagi aktiviti memanjat untuk peringkat permulaan, ia ditawarkan secara percuma kepada kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun menerusi Hermission House Extreme Sports Club.
Kelab tersebut bernaung di bawah anakanda puteri kedua Raja Muda Perlis, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Kesemua aktiviti di situ dimulakan pada pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari, sebelum dinding gua menjadi panas akibat bahang matahari.
Masa terbaik untuk datang melakukan aktiviti memanjat Gua Bukit Keteri adalah pada Februari hingga Jun.
Aktiviti di Bukit Keteri memerlukan tempahan awal memandangkan tiada kelengkapan keselamatan di lokasi tersebut.















