SIAPA sangka selepas berjam-jam mendaki Gunung Kinabalu, Sabah, pendaki bukan hanya dapat menikmati pemandangan indah di puncak tertinggi di Malaysia tetapi dapat melegakan badan dengan kerusi urut.
Perkara itu bukanlah satu angan-angan tetapi telah menjadi realiti selepas kerusi urut tanpa wayar pertama di dunia iaitu Evis Zenia menjadi yang pertama merealisasikan perkara itu.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Evis, Low Jay See, usaha ini merupakan hasil inisiatif pihaknya melibatkan pengangkutan kerusi urut ke ketinggian lebih 4,000 meter di atas paras laut itu.
“Tindakan ini disusun bagi menghormati pencapaian para pendaki yang berjaya mendaki puncak Gunung Kinabalu.
“Ia merupakan satu perayaan bagi semangat kemanusiaan dan keinginan untuk meneroka secara keseluruhan dan mencerminkan nilai syarikat itu sendiri dalam bidang inovasi dan teknologi,” katanya ketika dihubungi K2 menerusi e-mel baru-baru ini.
Jelasnya, mereka mendapat inspirasi untuk meneroka cara-cara yang tidak konvensional bagi menyatukan produk dan minat penjelajahan daripada satu kumpulan pencinta alam.
Tambahnya, perjalanan untuk mendaki Gunung Kinabalu itu disokong oleh kumpulan pencinta alam yang kemudian mengharungi pendakian yang curam, laluan berbatu dan perubahan iklim sambil membawa kerusi urut tersebut.
Melalui usaha kolektif mereka, para pendaki tersebut membuktikan ketekunan dan komitmen yang tidak berbelah bagi mencapai kejayaan, baik di gunung mahupun dalam kehidupan.
“Pendakian ini turut memberikan peluang bagi menunjukkan bagaimana kebolehan untuk bersantai boleh ditemui di mana-mana termasuk ketika mendaki gunung. Pendaki gunung menikmati keindahan landskap Gunung Kinabalu sambil berehat dengan menggunakan kerusi urut tersebut.
“Pada masa ini, para pendaki yang melawat Gunung Kinabalu dapat merasai pengalaman menggunakan Zenia di ibu pejabat Taman Negara Kinabalu atau di cawangan Laban Rata Sutera
Sanctuary Lodges di titik rehat Laban Rata yang merupakan rakan kongsi Evis dalam usaha ini,” ujarnya.
Kongsi Jay See, pihaknya percaya bahawa pelaburan dalam produk ergonomik juga adalah suatu pelaburan kesihatan untuk jangka masa yang panjang. Ia merupakan salah satu kaedah yang mungkin dapat mengurangkan keperluan sesi perubatan yang lebih mahal dan memakan masa kelak.
Pihaknya juga menunjukkan dedikasi untuk mencipta produk yang membawa sokongan terhadap ergonomik ke tahap yang seterusnya, selain menjamin keselesaan, ketenangan dan menawarkan sinar harapan pada zaman yang mana masalah leher dan belakang menghantui masyarakat.
“Dengan menggabungkan faedah kerusi urut serta fungsi kerusi pejabat, Zenia menyediakan penyelesaian yang holistik bagi mereka yang mencari keselesaan dan kesihatan kepada tulang belakang sambil menawarkan peluang untuk berehat dan menyegarkan diri selepas seharian bekerja.
“Inovasi Zenia juga terletak pada ciri kawalan telefon pintar intuitif yang membolehkan individu menyesuaikan pengalaman urut mereka dengan hanya melalui aplikasi telefon pintar mesra pengguna yang menjadi salah satu ciri inovatif serta membolehkan mereka menyesuaikan urutan untuk penumpuan di kawasan tertentu,” katanya lagi.
Reka bentuk Zenia turut menampilkan sandaran tangan 5D yang lebih meningkatkan pengalaman urutan kepada pengguna dan menyediakan penyesuaian multidimensi yang memastikan sokongan optimal bagi bahagian lengan dan bahu.
Ciri ini menggalakkan postur semula jadi yang santai, mengatasi ketidakselesaan disebabkan oleh menaip dalam tempoh masa panjang, apatah lagi kajian mendapati masalah tulang belakang khususnya dalam kalangan pekerja yang kurang aktif semakin meningkat dan membimbangkan.
Salah satu ciri unggul Zenia adalah sokongan leher dan pinggang yang dihasilkan dengan teliti untuk menyelaraskan tulang belakang dan mengurangkan tekanan.
Reka bentuk strategik ini secara aktif melawan kesan negatif postur buruk, yang merupakan kebimbangan umum dalam kalangan pekerja di pejabat.














