fbpx

‘Saya parkir sebelah kereta Faisal Halim, nasib sampai selepas kejadian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta (kiri) milik seorang wanita yang turut terkena simbahan asid apabila kenderaannya diletakkan bersebelahan kereta Faisal.

PETALING JAYA – Seorang wanita mendakwa keretanya turut terkena simbahan asid yang disasarkan kepada pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Damansara, semalam.

Wanita itu menerusi ciapan di laman X berkata, secara kebetulan keretanya berada bersebelahan kenderaan milik bintang Selangor FC terbabit dan selepas keluar dari pusat beli-belah, dia mendapati cat bahagian hadapan kereta miliknya mengelupas ekoran terkena cecair tersebut.

Bagaimanapun, individu yang menggunakan akaun Farra Natasha Hidzir itu meluahkan rasa syukur apabila dia dan keluarga selamat kerana mereka tiba di kenderaan selang beberapa minit selepas kejadian tersebut berlaku.

“Kereta saya pun kena, sebab kereta saya parkir sebelah kereta Faisal Halim. Nasib baik keluarga saya sampai dekat kawasan parkir selepas kejadian.

“Mungkin Allah ingin menyelamatkan kami sebab saya bawa dua anak kecil ketika itu,” ciapnya.

Katanya, dia akan membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Faisal mengalami kecederaan serius apabila disimbah asid ketika berada di sebuah pusat beli-belah terkemuka tanah air di Kota Damansara pada Ahad.

Difahamkan, tonggak skuad kebangsaan itu disimbah asid selepas bermain di litar go kart di kawasan pusat beli-belah berkenaan.

Terbaharu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seorang lelaki yang juga suspek kepada kes simbah asid terhadap Faisal berjaya diberkas semalam di Pandan Indah, Ampang.

Menurutnya, lelaki berusia lingkungan 20-an itu telah direman dua hari bermula hari ini sehingga esok untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI