fbpx

Isu tanah kubur selesai bulan ini – MRL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) optimis terhadap isu pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mampu diselesaikan pada hujung bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pihaknya telah mendapat arahan supaya kerja-kerja pemindahan ditangguh buat sementara sehingga 17 Mei ini.

“Untuk makluman dari segi garis panduan, peraturan yang dimuktamadkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor telahpun kita patuhi dan kita mengharapkan perkara ini dapat selesaikan dalam hujung bulan ini.

“Secara ringkasnya, perbincangan (dengan waris) menjurus kepada bagaimana kita perlu memindahkan kubur tersebut, apa kaedah yang perlu dibuat dan tentunya kaedah-kaedah ini mendapat kelulusan Majlis Fatwa Negeri Selangor yang telah kita perolehi sebelum ini.

“Sepatutnya tiada isu-isu yang berbangkit, tetapi kita faham dari segi sensitiviti dan keresahan yang ditimbulkan oleh waris-waris terlibat,” katanya kepada pemberita pada sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan luahan penduduk yang mendakwa tapak kubur ahli keluarga mereka akan digali dan hanya diberikan batu nisan sahaja sepanjang pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tanah Perkuburan Selat Klang.

Mereka juga didakwa  tidak dibenarkan menghadiri proses penggalian dan pemindahan kubur tersebut.

Darwis menambah, tapak lokasi kubur tersebut bakal dipindahkan telah dikenal pasti dan kedudukannya amat dekat dengan tapak asal. 

Berhubung perkembangan kerja-kerja pembangunan ECRL, Darwis berkata, ia berada dalam landasan tepat untuk siap pada Disember 2026 dan memulakan operasi pada Januari 2027.

“Selepas dua hari raya (Aidilfitri) lagi, rakyat boleh pulang ke kampung mereka di Kelantan dan Terengganu dengan mudah, dalam tempoh empat jam sahaja,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI