fbpx

Kos besarkan anak lebih RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak memasuki kelas pada hari pertama pembukaan sebuah taska di Bangor, Wales pada 15 Mac 2023. – AFP

LONDON – Kos untuk membesarkan anak melonjak sejak sedekad lalu, menyebabkan ibu bapa di Britain bergelut untuk memenuhi semua segmen keperluan hidup mereka, lapor akhbar Metro UK kelmarin.

Kajian dijalankan firma pakar pelaburan, Moneyfarm mendapati bahawa ibu bapa perlu membelanjakan lebih £220,000 (RM1.3 juta) untuk membesarkan seorang anak sehingga mencapai usia dewasa 18 tahun.

Kajian serupa oleh syarikat pengeluar produk pembinaan kemahiran kanak-kanak, SmarTrike pula mendedahkan angka yang lebih tinggi.

Kajian SmarTrike mendapati kos untuk membesarkan anak dari awal usia melonjak sebanyak 75 peratus dalam masa 10 tahun, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan kos penjagaan kanak-kanak.

Anggaran tersebut mengambil kira perbelanjaan sebanyak £23,500 (RM140,662) setahun untuk membesarkan anak yang ­lebih kecil. Ia melibatkan kos purata kira-kira £15,000 (RM89,784) setahun untuk budak berusia bawah dua tahun.

Pengarah Kewangan Peribadi laman pelaburan AJ Bell, Laura Suter berkata, purata kos penjagaan seorang kanak-kanak kini menelan belanja lebih separuh daripada gaji purata ibu bapa di beberapa kawasan di Britain.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai ibu bapa bergelut untuk menyediakan kemudahan asas lengkap kepada diri sendiri dan anak-anak mereka.

“Kami dapat melihat bahawa ramai orang menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan hidup,” katanya.

Beberapa kajian lain menun­jukkan bahawa ibu bapa terpaksa menanggung beban krisis kos sara hidup, dengan kebanyakan perbe­lanjaan mereka meningkat jauh melebihi kadar inflasi.

Kos penjagaan anak dalam masa sama, melonjak enam pe­ratus pada tahun lepas dan me­lebihi kadar inflasi.

Ia berlaku ketika ramai ibu bapa yang bekerja berdepan mandat ‘kembali ke pejabat’ da­ripada majikan mereka sekali gus meningkatkan keperluan penja­gaan anak.

Firma penyedia penjagaan kanak-kanak, Pebble menganggarkan secara purata, ibu bapa yang bekerja perlu mengeluarkan kos tambahan sebanyak £664 (RM3,974) untuk penjagaan anak pada setiap bulan.

Keadaan itu disukarkan lagi oleh harga bil utiliti yang melonjak sekali gus memberi tekanan kepada ibu bapa yang sudah bergelut untuk menyediakan makanan buat ahli keluarga.

Selain itu, makanan khusus untuk kanak-kanak turut mencatatkan peningkatan harga melebihi kadar inflasi, dengan First Steps Nutrition Trust menganggarkan bahawa harga susu formula bayi meningkat 24 peratus antara Mac 2021 hingga April tahun lalu.

Kos lain yang turut ­meningkat termasuk pakaian seragam sekolah serta kos hobi dan aktiviti kanak-kanak, demikian menurut Moneyfarm.

Sementara itu, bagi menangani masalah tersebut, kerajaan Britain mengumumkan beberapa dasar bertujuan membantu ibu bapa menghadapi kenaikan kos untuk membesarkan anak.

Antaranya adalah penyediaan waktu taman asuhan kanak-kanak (taska) percuma untuk kanak-kanak yang masih kecil, pengenalan skim Penjagaan Anak Bebas Cukai dan skim Manfaat Anak. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI