fbpx

Ustaz Muzaidi didakwa noda 3 pelajar lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Muzaidi (dua dari kanan) untuk didakwa atas lima pertuduhan meliwat pelajar lelaki di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. -Foto ROSMIZAN RESDI/KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang pengasas sebuah rumah anak yatim dan maahad tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan meliwat tiga pelajar lelakinya di pusat pengajian di Bachok dan Machang dekat sini sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muzaidi Mohamad, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh yang juga mudir di kedua-dua pusat pengajian itu didakwa meliwat tiga kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 15 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di bilik mudir di sebuah rumah anak yatim di Bachok dan di dalam bilik tidur di sebuah maahad tahfiz di Machang kira-kira pukul 10 pagi sehingga 10 malam bermula April 2021 hingga April tahun ini.

Daripada lima pertuduhan tersebut, empat pertuduhan melibatkan dua orang mangsa yang sama.

Muzaidi didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan jaminan kerana terdapat kebarangkalian tertuduh akan mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mohd. Azrul Hasyimi dalam rayuannya memohon ikat jamin paling rendah diberikan memandangkan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga selain mempunyai isteri dan anak yang masih kecil.

Nik Habri kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM75,000 dengan seorang penjamin untuk kelima-lima pertuduhan itu.

Jaminan tersebut disertai dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 Mei depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, perbuatan jijik seorang ustaz dipercayai meliwat tiga pelajar lelaki sejak dua tahun lalu terbongkar selepas dia ditahan polis baru-baru ini.

Suspek yang merupakan tenaga pengajar di sebuah pusat tahfiz di Machang dicekup pada 16 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI