fbpx

Kadar ketidakpadanan pekerjaan graduan menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mencatatkan penurunan ketidakpadanan pekerjaan graduan yang signifikan kepada 18.2 peratus untuk tahun 2023 berbanding 40.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohammad berkata, dalam masa sama, sebanyak 22.3 peratus penurunan direkodkan bagi graduan yang ditempatkan dalam kumpulan pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah.

Menurutnya, ia adalah hasil inisiatif berterusan agensi melalui Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan dengan sokongan Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs dalam usaha menempatkan graduan di kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Pelbagai inisiatif dilakukan termasuk program intervensi awal ke arah kerjaya di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerusi penubuhan Pusat Satelit MYFutureJobs di IPT dan penganjuran Program Career Launchpad (CLP) bagi memacu kebolehpasaran graduan.

“Perkeso turut memperluas fungsi Portal MYFutureJobs dengan menawarkan jawatan kosong bagi tujuan latihan industri untuk membantu pelajar mendapat penempatan dan sejak 2023 hingga Mac lalu, sebanyak 64,836 kekosongan jawatan untuk latihan industri telah ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata ketika ketika menyampaikan ucaptama Karnival Kerjaya sempena Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) serta di 54 pejabat Perkeso seluruh negara bermula hari ini dan esok.

Hampir 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya tersebut daripada 130 majikan.

Abdul Rahman berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) terus memanifestasikan keberhasilannya melalui inisiatif yang holistik serta inklusif bagi memperkasa pasaran buruh negara dalam rangka memerangi masalah pengangguran yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran, penempatan pekerja, penyediaan bantuan kewangan segera dan lain-lain.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan Perkeso bagi tempoh 2018 hingga suku pertama 2024, seramai 259,754 pekerja telah diluluskan untuk menerima bantuan kewangan segera melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

“Daripada jumlah tersebut, seramai 80,521 pekerja yang kehilangan pekerjaan telah kembali ke alam pekerjaan, manakala 19,149 individu layak menghadiri latihan vokasional.

“Untuk program Return To Work (RTW) oleh Perkeso bagi membantu peserta yang cedera atau menghidap penyakit untuk pulih dan kembali bekerja, seramai 56,698 peserta telah kembali bekerja sejak 2017 hingga suku pertama 2024,” katanya.

Katanya, sehingga minggu pertama April 2024, seramai 11,101 personel Program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) telah mendapat pekerjaan sejak inisiatif itu diletakkan di bawah tanggungjawab Kesuma menerusi Perkeso pada Disember tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI