fbpx

Tragedi helikopter TLDM: Jenazah Komander Firdaus dibawa terus ke masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tinjauan di lokasi Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut di Perak, pagi semalam akan dibawa terus ke Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, di sini.

Adik iparnya yang hanya mahu dikenali sebagai Lina berkata, jenazah akan dibawa ke masjid sebaik semua urusan selesai di Ipoh nanti.

“Belum ada sebarang perkembangan terkini bila jenazah akan bertolak ke sini. Waris minta untuk dibawa terus ke masjid.

“Setakat ini yang dimaklumkan, belum selesai lagi proses bedah siasat. Pihak hospital akan keluarkan kesemua mangsa selepas selesai semuanya,” katanya kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, media melaporkan urusan bedah siasat kesemua 10 jenazah anggota TLDM dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dijangka selesai kira-kira pukul 2 petang ini.

Lapan jenazah Islam akan dibawa ke Kem Syed Putra atau Markas Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu DiRaja (23 RAMD) di Jalan Tambun untuk disolatkan dan diadakan istiadat rasmi sebelum dibawa pulang ke lokasi yang diminta keluarga masing-masing, hari sama.

Sementara itu, dua lagi jenazah bukan Islam iaitu mendiang Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dan Leftenan T. Sivasutan masing-masing akan dibawa ke Kampung Engkaroh Tebakang Serian, Sarawak serta Taman Serdang Jaya, Sitiawan di Perak.

Dalam pada itu, hasil tinjauan Kosmo! di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong di sini, sebentar tadi mendapati anggota pasukan TLDM sedang membuat persiapan seperti memasang khemah di lokasi di situ.

Jarak tanah perkuburan berkenaan terletak kira-kira dua kilometer dengan kediaman mangsa di Pulau Jerejak.

Difahamkan, kerja-kerja menggali kubur mula dijalankan pada pukul 7 pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi semalam, seramai 10 kru dilaporkan terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM yang bertembung di udara sewaktu raptai sempena Hari TLDM ke-90. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI