fbpx

Lambaian akhir buat HOM-AW139 sebelum ke Lumut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lambaian daripada lima Kru Udara Skuadron 503 kepada rakan setugas mereka yang menaiki dua Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 ketika berlepas dari pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

PETALING JAYA – Lambaian daripada lima Kru Udara Skuadron 503 kepada rakan setugas mereka yang menaiki dua Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 ketika berlepas dari pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada 19 April lalu, menjadi kenangan terakhir sebelum sebuah daripada pesawat itu terhempas pagi tadi.

Menerusi perkongsian beberapa gambar di Facebook 503 Squadron empat hari lalu, pasukan itu menghantar dua pesawat HOM-AW139 membabitkan sembilan kru udara dan 11 juruteknik ke Pangkalan TLDM Lumut, Perak untuk menyertai latihan dan raptai sempena perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung bermula Sabtu ini.

“503 menghantar dua buah pesawat HOM AW139 bersama sembilan Kru Udara dan 11 Juruteknik Pesawat ke Lumut, Perak untuk menyertai Lintas Hormat di KD (Kapal Diraja) Pelandok sempena perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pada 27 April 2024 dan demonstrasi udara di Hari Terbuka Armada pada 3 hingga 5 Mei 2024 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak,” kata hantaran itu.

Lebih menyedihkan, apabila satu gambar memaparkan lambaian lima sahabat mereka dengan kapsyen yang penuh menyimpan seribu makna.

“Lambaian penuh makna daripada sebahagian kru yang tinggal, selepas ini mereka mungkin boleh balik awal selalu? Entah, min masih mampu bersangka baik,” tulisnya.

Terdahulu, seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi ini.

Dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada pukul 9.03 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita merupakan anggota dari Pangkalan TLDM Lumut dan Kota Kinabalu.

Menurutnya, semasa kejadian semua kru terlibat sedang mengikuti sesi latihan sempena Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec.

Berdasarkan maklumat dikongsi, tujuh kru yang menaiki Pesawat HOM AW139 dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Muhammad Faisol Tamadun, Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia anak Rohna.

Selain itu, tiga kru yang menaiki Pesawat Fennec dikenali Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI