fbpx

K2

Kiwanis perkasa golongan berkeperluan khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fatimah (tengah) bersama Michael (kanan) dan bekas Gabenor Daerah Kiwanis, Datuk Steward LaBrooy.

MEMBESARKAN anak-anak berkeperluan khas sememangnya mencabar.

Sokongan berterusan daripada organisasi yang mahir dalam mengendalikan golongan kurang bernasib baik sememangnya amat penting bagi memastikan ibu dan bapa yang mempunyai cahaya mata berkeperluan khas boleh memberikan penjagaan terbaik buat anak-anak mereka.

Kiwanis, sebuah organisasi sedunia yang berdedikasi untuk berkhidmat kepada kanak-kanak dan komuniti baru-baru ini berkongsi usaha mereka dalam memperkasa mereka yang terpaksa menjaga golongan berkeperluan khas.

Sejak lebih setengah abad penubuhannya di Malaysia, entiti itu pada tahun ini mengadakan Anugerah Ibu Kiwanis 2024 bagi meraikan jasa dan pengorbanan golongan ibu yang membesarkan serta mendidik anak-anak berkeperluan khas.

Kongsi Gabenor Daerah Kiwanis Malaysia, Michael Chew, Kiwanis yang dianggotai oleh sukarelawan dengan minat yang sama telah sejak sekian lama memberikan khidmat bakti kepada komuniti.

“Kiwanis telah berkhidmat tanpa jemu kepada komuniti kami menerusi 52 buah kelab di seluruh negara.

“Sehingga kini, kami telah berjaya mengendalikan lebih daripada

15 buah pusat khusus buat individu dengan sindrom down, disleksia dan masalah-masalah pembelajaran lain serta kemudahan pemulihan strok dan saraf,” katanya.

Antara inisiatif Kiwanis dalam membantu golongan terkesan adalah dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti Kiwanis Treasure Hunt, kempen derma darah dan pelbagai program kepimpinan belia.

Berkongsi tentang penganjuran Anugerah Ibu Kiwanis bagi tahun ini, Pengerusi Akademi Kiwanis Malaysia, Datuk Fatimah Saad berkata, acara yang berlangsung di Setia Alam kelmarin itu disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan permaisuri baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin Abdul Rahman.

Seramai lapan ibu telah menjadi penerima anugerah tersebut iaitu Chia Gek Hong, Hanizan Mohd. Azmin, Loke Siew Phaik, Cordelia Lee Suet Fun, Sia Siew Chin, Tan Ken Moi, Noriah Wan Ramli dan Zaharah Ali.

Fatimah berkata, Kiwanis amat terharu dengan kisah-kisah ketabahan para ibu dalam mengharungi pelbagai cabaran yang dihadapi oleh anak-anak mereka yang berkeperluan khas, selain cabaran unik yang terpaksa ditempuhi golongan ibu itu sendiri.

“Selain usaha kami untuk meningkatkan kesedaran tentang kanak-kanak berkeperluan khas, kami juga merasa terdorong untuk menghormati ibu-ibu ini atas usaha mereka.

“Oleh itu, kami memutuskan bahawa cara terbaik untuk menunjukkan penghargaan kami adalah dengan memberi penghormatan kepada mereka dengan meraikan usaha dan pencapaian luar biasa mereka menerusi anugerah ini,” katanya.

Beliau menambah, acara itu juga menjadi platform untuk meraikan golongan ibu atas dedikasi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memupuk dan menyokong keluarga mereka.

Tambahnya, lapan ibu itu diiktiraf sebagai wira tidak didendang yang menjadi tonggak kekuatan dalam menyara anak-anak mereka, walaupun dalam keadaan yang mencabar.

Fatimah memberitahu, acara itu juga bertujuan mengumpul dana sebanyak RM1 juta untuk program Kiwanis Malaysia serta penganjuran aktiviti di Pusat Khidmat Kiwanis dan Akademi Kiwanis Malaysia.

Beliau juga berkata, ketika ini, masih terdapat jurang yang besar dalam menangani keperluan kanak-kanak istimewa yang tidak boleh dipikul oleh kerajaan sahaja.

“Ramai ibu menghadiri ceramah di pusat khidmat kami dan mendapatkan bimbingan kerana mereka tidak pasti tentang cara mengemudi isu berkaitan pendidikan, rawatan dan terapi untuk anak berkeperluan khas mereka.

“Justeru, kami menyedari bahawa terdapat permintaan yang jelas untuk lebih banyak maklumat dan sokongan dalam hal ini,” katanya.

Fatimah menambah usaha meningkatkan kesedaran yang dijalankan Kiwanis boleh membantu dalam menangani cabaran dan memperkasa kanak-kanak berkeperluan khas untuk mencapai potensi penuh mereka, menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan bertindak sebagai platform maklumat kepada ibu bapa untuk menjadi lebih berpengetahuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI