SUKAN stacking (susun cawan) merupakan aktiviti menyusun dan meruntuhkan set cawan khas mengikut susunan tertentu dalam masa terpantas.
Walaupun kelihatan mudah, namun sukan itu sebenarnya memerlukan fokus tinggi, koordinasi tangan dan mata yang baik serta disiplin latihan konsisten.
Di sekolah terutama dalam program pendidikan khas, stacking semakin popular kerana dapat membantu mengasah kemahiran motor halus dan meningkatkan keyakinan diri.
Bagi seorang remaja istimewa, Nur Fatini Arina Mohd Fazrin, sukan itu membuka ruang baharu kepadanya untuk menyerlahkan potensi, membina keberanian dan menikmati saat-saat bermakna dalam perkembangannya.
Menurut ibunya, Farah Abd. Rahim, anaknya mula mengenali stacking pada usia 11 tahun ketika Kementerian Pendidikan(KPM) memperkenalkan sukan itu di sekolah untuk kategori sindrom Down.
“Pada mulanya, Nur Fatini anggap stacking macam main cawan saja, sesuatu yang seronok untuk dimainkan.
“Tapi lama-kelamaan, bakatnya mula menyerlah dan keyakinannya semakin kuat.
“Memandangkan dia tunjuk minat mendalam, saya minta cikgu ajar saya cara bermain yang betul supaya saya boleh terus latih Nur Fatini di rumah,” katanya kepada K-Remaja.
Mengulas lanjut, Farah berkata, anaknya yang kini berusia 14 tahun menunjukkan minat mendalam terhadap aktiviti yang bersifat mainan dan visual itu.
Nur Fatini juga memiliki koordinasi tangan dan mata yang baik, dan berasa seronok apabila berjaya mengejar masa serta menyiapkan susunan cawan dengan lengkap.
Selain itu, Nur Fatini mempunyai semangat juang yang tinggi, motivasi untuk menang, memahami kepentingan fokus serta berusaha mencapai masa terbaik.
Ujar Farah, anaknya berlatih setiap malam jika terdapat pertandingan, manakala pada hari biasa, latihan dilakukan secara spontan mengikut minatnya.

“Nur Fatini gemar berlatih sendiri di bilik kerana bunyi cawan jelas kedengaran setiap kali disusun dan diruntuhkan.
“Dia juga kerap meminta saya memantau masa serta memberi tunjuk ajar supaya dapat memperbaiki teknik dan mencapai keputusan lebih baik,” katanya.
Untuk pengetahuan, Nur Fatini pernah bertanding di peringkat antara sekolah, daerah Hulu Selangor dan juga negeri dalam sukan stacking.
Pencapaian terbesarnya termasuklah menjadi Johan Daerah Hulu Selangor 2025 dalam kategori Sindrom Down Terbuka serta berada dalam lima pemain terbaik di peringkat negeri.
Selain itu, dia pernah menyertai pertandingan anjuran World Sport Stacking Association (WSSA) Malaysia di Negeri Sembilan dalam kategori sindrom Down.
Walaupun tidak menang, namun pengalaman bersaing dengan juara kebangsaan memberikan peluang berharga kepadanya untuk menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran.
Kongsi Farah, emosi Nur Fatini menjadi semakin matang selepas terlibat dengan sukan itu sehingga dia boleh menyertai pertandingan bersama pihak sekolah tanpa kehadirannya.
“Sewaktu pertandingan peringkat negeri di Bangi, Nur Fatini perlu bermalam bersama cikgu dan rakan-rakan lain.
“Walaupun jauh dari saya, namun Nur Fatini berjaya menguruskan diri sendiri, termasuk mengemas pakaian dan mengikuti rutin pertandingan dengan baik.
“Pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, malah mengajar anak saya untuk lebih berdikari,” katanya.















