PETALING JAYA – Seorang wanita terpaksa mengeluarkan modal sebanyak RM6,200 bagi membaiki jubin ruang tamu rumahnya yang tiba-tiba meletup disebabkan kontraktor tidak membancuh simen yang betul ketika memasangnya.
Nurul Izzati, 28, berkata, kejadian pada Ramadan tahun lalu itu membuatkannya tidak dapat menyambut Aidilfitri di rumah sendiri.
Katanya, apabila diperiksa, kontraktor memaklumkan jubin rumahnya lompong dan mungkin dipasang oleh pihak yang mahu menjimatkan kos.
“Ketika kejadian, kami sedang berbuka. Tiba-tiba dengar bunyi meletup. Apabila diperiksa, kami dapati jubin di ruang tamu mula retak dan terjongket.
“Esoknya kami panggil kontraktor untuk melihat kerosakan. Ketika itulah kami dimaklumkan jubin pecah disebabkan bancuhan simen tidak betul dan ditambah pula dengan cuaca panas,” katanya.
Menurut Nurul Izzati, dia kesal kerana kejadian itu berlaku selepas tiga tahun dia tinggal di apartmen baru dibeli di Seremban, Negeri Sembilan dan terdapat juga jiran lain yang mengalami nasib serupa.
Tambahnya, dia berhabis RM6,200 untuk menggantikan keseluruhan lantai di ruang tamu dan dapur dengan komposit batu plastik untuk lebih tahan lama dan mengelakkan kejadian sama berulang.
Seorang lagi pemilik rumah yang ingin dikenali sebagai Syazwani, 26, berkata, kecuaian kontraktor yang pernah diupah untuk mengubah suai ruang tamu merupakan punca jubin rumahnya pecah secara tiba-tiba.
Menurut Syazwani yang juga seorang penjawat awam, dia terpaksa membayar RM3,500 kepada kontraktor untuk membaiki kerosakan tersebut.
“Kejadian tersebut berlaku pada waktu malam. Tiba-tiba saya dengar bunyi meletup yang sangat kuat. Pada awalnya, jubin terjongket sedikit tapi lama-kelamaan satu barisan (jubin) mula merekah.
“Sebelum saya panggil kontraktor, saya sudah angkat sedikit jubin. Memang bawahnya kosong,” katanya.
Menurut Syazwani, dia pernah mengupah seorang kontraktor untuk mengubah suai kawasan ruang tamu rumahnya 10 tahun lalu.
“Saya dimaklumkan kontraktor itu melebihkan pasir daripada simen. Sebab itulah jubin ruang tamu sahaja yang meletup,” katanya.
Menurut seorang pekerja swasta yang ingin dikenali sebagai Ikmal, 45, insiden jubin pecah juga pernah berlaku di rumah milik ibunya yang terletak di Gombak.
“Saya baru keluar dari tandas rumah, tiba-tiba jubin di ruang tamu, lebih kurang lima meter meletup dan terkopak.
“Esoknya, saya panggil kontraktor untuk buat pemeriksaan. Kata kontraktor tersebut, kejadian mungkin berlaku disebabkan faktor cuaca atau kewujudan gelembung udara bawah jubin,” katanya.














