fbpx

Peruntukan dana wakil pembangkang, deraf MoU bakal dirangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan merangka satu deraf Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung penyaluran dana kepada wakil rakyat pembangkang sebelum dipanjangkan kepada pihak pembangkang untuk langkah rundingan seterusnya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu berikutan persetujuan secara dasar dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Seri Perdana, semalam.

Katanya, secara dasar mesyuarat telah bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Ke arah itu satu deraf MoU akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.

“Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim serta dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.

Semalam, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bagi membincangkan isu pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Sebelum ini, Fadillah Yusof dilaporkan berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berkata, ia susulan perjumpaan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengannya di Parlimen pada 19 Mac lalu.

Perjumpaan itu membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI