fbpx

[VIDEO] Ketinggian letusan Gunung Ruang lebih 16km, berisiko untuk penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN Gunung Ruang hari ini selepas letusan besar berlaku semalam. – AFP

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melaporkan insiden letusan Gunung Berapi Ruang, di Sulawesi Utara, Indonesia sejak pukul 9.46 pagi kelmarin telah menyebabkan terbentuknya awan debu yang menyebabkan risiko kepada keselamatan pesawat.

MetMalaysia dalam kenyataan berkata, ketinggian letusan yang dicerap adalah sehingga 55,000 kaki atau kira-kira 16.76 kilometer (km).

Katanya, bencana alam itu turut menjejaskan operasi penerbangan di Sabah dan Sarawak.

“Walau bagaimanapun setakat ini, kualiti udara permukaan di Sabah dan Sarawak tidak terjejas berdasarkan pencerapan indeks pencemaran udara (IPU).

“Pada masa ini, Indonesia telah mempertingkatkan amaran letusan gunung berapi kepada Tahap 4 (Awas) dan menjangkakan Gunung Berapi Ruang akan terus aktif dan boleh meletus dari semasa ke semasa.

“MetMalaysia akan terus memantau kesan letusan Gunung Berapi Ruang terhadap negara,” katanya.

Terdahulu, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia hari ini mengeluarkan amaran potensi tsunami selepas Gunung Ruang di Sulawesi Utara yang meletus semalam.

Susulan itu, penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan pantai di Pulau Tagulandang diingatkan untuk berjaga-jaga dan peka dengan sebarang amaran potensi tsunami yang dikeluarkan.

Sementara itu, syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan beberapa penerbangan di antara Kuala Lumpur dengan Sabah dan Sarawak susulan letusan yang berlaku di Gunung Ruang, Indonesia.

Malaysia Airlines mengumumkan pembatalan 11 penerbangan Sabah dan Kuala Lumpur sementara lapan penerbangan lagi melibatkan laluan Sarawak dan Kuala Lumpur.

Bagi AirAsia pula, pihaknya telah membatalkan 16 penerbangan dengan semua penumpang terjejas boleh membuat perubahan sekali kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal pada laluan yang sama tanpa kos tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI