fbpx

Projek lebuh raya PJD Link Expressway tidak diteruskan – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri di kementeriannya, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link Expressway) selepas ia gagal memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek itu tidak diteruskan selepas enam daripada 11 syarat ditetapkan gagal dipenuhi pemegang konsesi projek berkenaan.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

“Keputusan hari ini kerajaan tidak memberikan pelanjutan masa kerana ia (pemegang konsesi) gagal memenuhi syarat ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Jurucakap Kerajaan Madani itu berkata, beliau difahamkan, tiga kali tempoh pelanjutan telah diberikan kepada pemegang konsesi projek itu bagi melengkapkan syarat berkenaan namun, masih gagal dipenuhi.

Pada Julai tahun lalu, Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya berkenaan kerana pelan dikemukakan tidak menepati syarat.

Malah, pada 24 Februari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari turut meminta pemaju lebuh raya yang dicadangkan untuk merundingkan semula jajarannya dengan Kerajaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI