fbpx

Ketipak jadi ketiak, Leona ajar netizen terima jenaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Leona menasihatkan netizen agar jangan terlalu serius dalam kehidupan.

PETALING JAYA – “Awak semua kena belajar terima jenaka, hidup janganlah serius sangat okey.”

Demikian peringatan pempengaruh media sosial, Kasih Leona sekali gus membidas segelintir netizen yang terlampau taksub mahu mencari kesilapannya.

Perkara itu dikongsikan susulan kecaman diterima selepas gagal membawakan lagu Ketipak Ketipung Raya nyanyian Aisha Retno dan Aziz Harun dengan baik.

Gara-gara tersilap lirik asal sehingga tersebut bawang dan ketiak menjadi punca ‘serangan’ terhadapnya dalam ruangan komen video di TikTok.

Walaupun video nyanyian tersebut sudah tiada dalam laman sosialnya, klip berkenaan tular, tetapi di sebalik kutukan masih ramai menganggap anak kepada pelakon Azhar Sulaiman itu comel.

Enggan membiarkan diri dibuli, Leona atau nama lengkapnya, Kasih Iris Leona Azhar, 22, menegaskan, dia tidak menyusahkan orang lain jika bodoh sekali pun.

“Tak perlu stres atas kebodohan orang lain. Kalau saya bodoh, ada susahkan hidup awakkah?”, ujarnya dalam hantaran di TikTok.

Bahkan, akui Leona, dia kini sudah dapat ‘menangkap’ cara sebutan sebenar bait seni kata lagu tersebut selepas berlatih berulang kali.

“Ya. Sekarang saya dah tahu sebut Ketipak Ketipung itu. Relaks, yang marah-marah ini mesti ketiak awak bau busuk.

“Sebab itu awak marah saya nyanyi pasal bawang dengan ketiak yang busuk.

“Awak tahu bukan, siapa yang makan cili akan rasa pedasnya. Ketiak saya tak busuk, sebab itu saya tak terasa,” katanya.

Pada masa sama, gadis yang kini melanjutkan pengajian di United Kingdom itu turut mendedahkan pernah menyimpan angan-angan bergelar penyanyi.

Namun mengakui terpaksa melupakan hasrat berkenaan disebabkan sedar dia tidak mempunyai bakat dalam bidang seni suara.

Terdahulu, menerusi video dimuat naik dalam Tiktok, Leona bukan sahaja tersasul lirik, malah pelat menyebut perkataan Melayu juga menjadi punca kutukan netizen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI