fbpx

Konflik Iran-Israel: Malbatt 850-11 dilapor selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 216 anggota daripada kumpulan kedua pasukan Malbatt 850-11 berkumpul di Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Shah Alam sebelum berlepas ke Lebanon. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Keselamatan batalion Malbatt 850-11 yang dihantar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Lubnan ketika ini dilaporkan dalam keadaan selamat susulan konflik Iran-Israel yang berlaku ketika ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan sentiasa memberi peringatan untuk memastikan keselamatan anggota-anggota yang bertugas di sana.

“Semasa penghantaran itu saya percaya pada setiap masa kita memang maklumkan untuk memastikan soal keselamatan dapat dijaga dan dipelihara lebih-lebih lagi bila berlaku keadaan seperti yang kita sedia maklum.

“Saya percaya soal itu dipertingkatkan, tetapi buat ketika ini laporan yang kita terima mereka berada dalam keadaan yang selamat kerana pasukan kita berkhidmat dan diletakkan dalam kawasan yang bukan bersempadan Lubnan dan Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melawat Tapak Perumahan Projek SASaR Sungai Besi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penampakan kapal Pengawal Pantai China (CCG) di perairan Sarawak minggu lalu Mohamed Khaled berkata, kawasan Laut China Selatan adalah kawasan yang bebas dilalui oleh sesiapa.

“Jika kapal asing itu berlabuh itu boleh dianggap sebagai pencerobohan.

“Bila itu berlaku, dari segi tatacara kerja kita akan maklumkan kepada Wisma Putra untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, Tentera Laut Diraja Malaysia melaksanakan enam operasi laut di kawasan Maritim Malaysia di sebelah Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu untuk mengesan sekiranya terdapat bot luar biasa ataupun kapal-kapal perang daripada negara lain.

“Tapi perlu ingat, laluan Laut China Selatan adah bebas dilalui oleh mana-mana kapal.

“Saya difahamkan nelayan-nelayan yang melihatkan kapal itu mendapat izin Majlis Keselamatan Negara untuk menangkap ikan di situ jadi, biasanya tidak ada, tetapi kita tidak menafikan bahawa ada kapal-kapal negara asing yang mahu tunjuk mereka tuntut kawasan itu seperti kita juga,” katanya.

Justeru itu katanya, masyarakat perlu faham dan hargai peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Jila mereka tiada, akan jadi seperti Pulau Batu Putih di mana kedaulatan habis, jadi setiap masa sama ada di laut, darat dan udara.

“Kena faham itu, dan saya harap dapat kita didik masyarakat bahawa walaupun negara kita aman tetapi mereka beroperasi 24 jam,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI