PETALING JAYA – Perbezaan budaya menyambut Aidilfitri di Mesir tidak menjadi penghalang buat pelajar Malaysia meraikan lebaran biarpun terpaksa berjauhan dengan keluarga selama bertahun-tahun demi menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar.
Muhaimin Jazlie Mat Juri, 25, berkata, sejak lima tahun lalu, dia akan membuat panggilan video kepada ibunya pada pagi raya bagi mengubat rasa rindu kepada keluarga dan kampung halaman di Tanah Merah, Kelantan.
Katanya, dia tidak sabar pulang ke Malaysia memandangkan ini merupakan tahun terakhirnya menimba ilmu di universiti terulung Islam itu dalam bidang usuluddin (tafsir).
“Ketika awal-awal di sini memang rindu terutama pada pagi raya. Biasanya saya akan hubungi ibu selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri.
“Biasanya kami berbual panjang hingga satu atau dua jam. Antara perbezaan sambutan hari raya ialah makanan dan baju raya kerana penduduk hanya pakai baju biasa asalkan baharu,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurut Muhaimin Jazlie, di Malaysia ada ketupat, rendang dan sebagainya tetapi di Mesir popular dengan roti ‘isy (pita) dan tha’miyah iaitu makanan diperbuat daripada kacang kuda.
Tambahnya, pada mula dia pelik melihat penduduk Mesir memakai seluar biasa dan kemeja untuk sambut raya tetapi lama kelamaan ia sudah jadi biasa dan budaya masyarakat di situ.
“Mereka juga sangat suka mendoakan orang lain. Selepas solat raya, ada orang yang doakan kita semasa bersalam-salaman dan memberi duit raya sebanyak 10 paun Mesir (RM1),” katanya.
Bagi Muhammad Kasyfunnazir Khorde, 24, meraikan Aidilfitri bersama pelajar Malaysia lain merupakan pengubat rindu kepada keluarganya di Semenyih, Selangor sejak lima tahun lalu.
“Saya lebih suka menyambut lebaran secara sederhana seperti yang dilakukan oleh masyarakat Mesir.
“Orang Mesir lebih meraikan Ramadan berbanding Syawal dengan menghidupkan pelbagai program. Jemaah penuh di masjid sepanjang Ramadan dan berlumba-lumba melakukan ibadah,” katanya.
Dia yang mesra disapa Kasy berkata, dia bangun sahur pada pukul 3.30 pagi dan berbuka sekitar pukul 6.30 petang.
“Tahun ini puasa tidak lama kerana musim sejuk jadi tidaklah terlalu lapar. Juadah berbuka diberikan percuma oleh dermawan dan kami tidak pernah berlapar walaupun berada di negara orang,” katanya.
Ujar Kasy, harga tiket kapal terbang yang mahal dan musim peperiksaan juga menjadi sebab dia tidak tidak pulang ke Malaysia untuk menyambut lebaran.
“Harga tiket pergi balik mencecah ribuan ringgit dan saya rasa rugi balik semata-mata mahu sambut Aidilfitri. Berada di tahun akhir membuatkan saya semakin sayang hendak tinggalkan bumi Mesir,” katanya.
Menurut Kasy, keluarga sudah biasa beraya tanpanya sejak lima tahun lalu dan mereka juga yang menghantarnya untuk belajar di Al-Azhar.
“Walaupun saya tidak balik, saya masih akan menghubungi ibu di kampung untuk bertanya khabar. Kemudian, saya dan kawan-kawan akan menunaikan solat sunat Aidilfitri, pakai baju Melayu dan ambil gambar untuk kenang-kenangan.
“Selepas itu, kami akan lakukan aktiviti sendiri, sama seperti hari biasa. Tidak ada bezanya dengan hari lain cuma lebih banyak bergambar sahaja,” katanya.
















