fbpx

Duit raya anak, ibu bapa hanya pemegang amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SETIAP kali tiba musim perayaan, persoalan sama bermain dalam fikiran ibu bapa tentang hala tuju duit raya anak-anak.

Bagi yang cakna soal pengurusan kewangan, mereka pasti mempunyai strategi tertentu untuk memanfaatkan wang tersebut dengan sebaiknya, namun bagaimana pula dengan ibu bapa lain?

Zaman sekarang, duit raya anak-anak dikira agak tinggi, namun ibu bapa harus ingat mereka hanyalah bertindak sebagai pemegang amanah.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, majoriti ulama berpandangan, ibu bapa tidak boleh mengambil harta anak dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan memerlukan.

Jika mereka menggunakan harta termasuk wang bagi perkara yang tidak mendesak, maka wajib ke atas golongan itu untuk mengganti semula.

Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan asas kaedah pengurusan wang berkesan. Jika duit raya anak diuruskan dengan bijak, ia akan memudahkan mereka di kemudian hari

Mengulas mengenai perkara itu, Koordinator Pusat Keusahawanan Mahasiswa, Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Dr. Mohamad Idham Md

Razak berkata, ibu bapa boleh melaksanakan strategi ‘serampang tiga mata’ untuk menguruskan duit raya anak-anak.

Strategi itu melibatkan perbincangan dan penetapan matlamat bersama, menggalakkan perbelanjaan berhemah dan membuka akaun simpanan.

“Di Malaysia, ada dua pilihan untuk menyimpan duit raya iaitu akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB). Akaun SSPN-i menawarkan insentif untuk simpanan pendidikan, manakala ASB pula berpotensi mendapat pulangan yang baik.

“Kedua-dua ini memenuhi keperluan anak-anak dan menggalakkan tabiat menabung,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurut beliau, antara kaedah lain adalah bahagi dan takluk.

“Ibu bapa boleh berbincang dengan anak bagi kaedah belanja, simpan dan kongsi. Biarkan mereka putuskan berapa banyak yang perlu diperuntukkan bagi setiap kategori itu. Ia mengajar mereka menetapkan sempadan untuk berbelanja.

“Ibu bapa boleh membuka akaun simpanan khas sebagai tempat untuk menyimpan wang kategori ‘simpan’. Jika ada masa terluang, pergi bank bersama anak untuk membuat deposit tambahan bagi mendorong mereka menyimpan secara konsisten,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, anak-anak juga perlu didedahkan dengan kaedah berbelanja secara bijak bukan hanya menyimpan semata-mata.

Tambahnya, ibu bapa juga boleh menggunakan wang dalam longgokan ‘belanja’ untuk mengajar anak membuat pembelian secara bertanggungjawab.

“Libatkan anak-anak dalam belanjawan untuk pembelian kecil. Bantu mereka membandingkan harga dan mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

“Ingat, matlamat utama adalah untuk membimbing, bukan mengawal, jadi biarkan mereka alami akibat daripada pilihan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI