fbpx

AIM umum dana RM50 juta untuk Sahabat Usahawan Wanita India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramanan (tiga dari kiri) menyerahkan dana khas berjumlah RM50 juta kepada Sahabat Usahawan Wanita berbangsa India, hari ini.

PETALING JAYA – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan peruntukan dana khas berjumlah RM50 juta untuk Sahabat Usahawan Wanita dalam usaha memperkasa usahawan wanita India.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ramanan Ramakrishnan di Ibu Pejabat AIM, Bandar Sri Damanasara di sini hari ini.

Dengan pengumuman tebaharu itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan dana untuk Sahabat Usahawan India adalah RM71.4 juta, yang mana RM21 juta disalurkan bermula Januari lalu.

Ramanan berkata, dana tambahan itu akan disalurkan melalui program khas ‘Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women’ (PENN) seiring dengan gagasan Malaysia Madani.

“Peruntukan RM50 juta yang menggunakan dana dalaman AIM ini dijangka memberi manfaat kepada 7,100 Sahabat Usahawan India baharu dan 3,100 Sahabat sedia ada.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan yang mendapat manfaat melalui peruntukan dana khas ini ialah seramai 10,200 orang,” katanya.

Ramanan memberitahu, permohonan dibuka bermula 15 April ini di 124 Cawangan AIM di seluruh negara dengan syarat penerima mestilah layak, warga Malaysia dan berbangsa India.

“Peruntukan dana khas yang boleh dipohon adalah sehingga RM30,000,” katanya.

Tambah beliau, pengumuman itu juga merupakan berita gembira buat Sahabat Usahawan berbangsa India yang akan meraikan Tahun Baharu Tamil, esok.

Sehingga hari ini, AIM mencatatkan jumlah Sahabat berbangsa India seramai 3,100 melibatkan pinjaman berjumlah RM330.20 juta.

Untuk rekod, AIM yang ditubuhkan sejak 37 tahun lalu mengeluarkan pembiayaan RM33.02 bilion kepada 968,321 peminjam, sekali gus mengeluarkan seramai 3.87 juta isi rumah daripada kepompong kemiskinan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI