fbpx

Lelaki mengaku samun, seret nenek 80 meter di stesen minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH mengaku bersalah meragut seorang warga emas berusia 62 tahun di stesen minyak di Melaka, Mac lalu.

MELAKA – Seorang lelaki berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan meragut warga emas sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah, Mac lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan bagaimanapun menangguhkan keputusan hukuman terhadap tertuduh, Izhar Ismail, 33, pada 22 April depan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap Chong Sook Fang, 62, dengan mengakibatkan kerugian lebih kurang RM1,500.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 12.30 tengah hari di stesen minyak di Jalan Malim dalam daerah Melaka Tengah, 19 Mac lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, mangsa telah diserang oleh tertuduh dan dua lagi suspek yang masih bebas ketika hendak masuk ke dalam kereta selepas selesai membuat pembayaran pengisian minyak.

Beg tangan mangsa telah diragut oleh salah seorang suspek yang masih bebas dari tingkap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton sehingga warga emas itu terseret sejauh 80 meter ke simpang jalan utama.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan serta badan dan terpaksa menjalani dua siri pembedahan.

Dalam prosiding itu, Elesabet tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sehingga tarikh sebutan semula bagi penetapan hukuman.

Terdahulu, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI