fbpx
Mohd. Farook (dua dari kanan) bersama penduduk lain terpaksa mengangkut air dari tong yang diletakkan di kawasan koridor sebuah blok di Flat Bukit Gedung, George Town semalam.

Bangun pukul 2 pagi tadah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Lebih 5,000 penduduk di Flat Bukit Gedung, di sini, dibelenggu tekanan apabila masalah gangguan bekalan air membabitkan seluruh blok perumahan itu, sejak awal Ra­madan lalu masih belum diselesaikan sepenuhnya sehingga hari ini.

Walaupun banyak aduan te­lah dibuat, isu tekanan air rendah itu dilihat semakin merun­cing sehingga menjejaskan ke­hidupan harian penduduk.

Penduduk di 980 unit kediaman di 20 blok itu melahirkan kebimbangan apabila berkemungkinan terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan ‘ketiadaan’ air ekoran masalah tekanan air rendah.

Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Bukit Gedung, Mohd. Farook Hasan Ali berkata, ma­salah tekanan air itu bermula selepas paip di dasar Sungai Perai digantikan selepas berlaku insiden paip bocor, awal tahun ini.

“Awal Ramadan, masalah ini semakin meruncing apabila penduduk di tingkat tiga hingga lima flat ini hanya menerima bekalan air pada pukul 2 hingga 8 pagi sahaja.

“Sehingga kini, masalah ini berlarutan dan kami juga telah mengemukakan aduan kepada pihak terlibat, namun tiada penyelesaian daripada pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP),” dakwanya.

Dakwanya, pihak PBAPP ha­nya memberikan maklum balas bahawa isu berkenaan berlaku akibat musim kemarau yang menyebabkan tekanan air rendah di kawasan berkenaan.

“Kehidupan seharian pen­duduk terjejas hampir sebulan, bayangkan kami terpaksa me­nunggu bermula pukul 2 pagi hingga 8 pagi untuk menadah air,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Salmi Abu Bakar berkata, penduduk berharap PBAPP dapat menyelesaikan isu tekanan air rendah di flat berkenaan de­ngan segera.

“Lori tangki air yang disediakan oleh PBAPP pun tidak mampu menampung keperluan penduduk kerana jumlah penduduk yang ramai di sini.

“Penduduk terutama mereka yang tinggal di tingkat tiga hingga lima amat tertekan ketika beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri, tetapi masih berterusan dibelenggu dengan isu tekanan air rendah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN