fbpx
NOR SHAHIDAH memaklumkan, umat Islam perlu mengelak pembaziran ketika menyambut Aidilfitri.

Ramai salah faham erti kegembiraan di Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TINGGAL beberapa hari saja lagi umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Aidilfitri disambut sebagai tanda kemenangan setelah sebulan kita menahan lapar dan dahaga serta beramal ibadah pada bulan Ramadan.

Malah, mereka yang berada di perantauan akan pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga tercinta bagi meraikan hari lebaran bersama.

Bagi membincangkan beberapa isu sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri, wartawan KOSMO! AHAD, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Pensyarah Kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Nor Shahidah Paad baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Beberapa hari saja lagi umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Pastinya, ramai yang tidak sabar untuk menyambut lebaran tanpa menghiraukan perginya bulan penuh barakah iaitu Ramadan. Adakah ia sudah menjadi lumrah kepada masyarakat kita?
DR. NOR SHAHIDAH: Definisi kepada lumrah ini adalah kebiasaan dan banyak faktor-faktor yang mendorong kepada kebiasaan.

Di negara kita, faktor utama yang mendorong kepada kebiasaan itu adalah persekitaran.

Sebagai contoh, media sosial itu sendiri banyak mengiklankan tentang hari raya dan membuatkan masyarakat teruja untuk menyambutnya.

Selain itu, persekitaran di sekeliling seperti ahli keluarga, jiran tetangga serta komuniti setempat menyebabkan seseorang itu lebih teruja menyambut hari raya dan akhirnya menjadi satu budaya.

Elemen pendidikan daripada keluarga juga penting. Ada antara kita sejak kecil melihat ibu bapa melakukan persiapan di hujung-hujung Ramadan.

Ini telah menjadi satu kebiasaan dan akan membentuk budaya apabila mereka dewasa kelak.

Oleh itu, kepentingan 10 akhir Ramadan ini perlu ditekankan kepada anak-anak bagi membolehkan ia menjadi satu kebiasaan buat mereka.

Sebagai umat Islam, pada 10 akhir Ramadan kita perlu fokus untuk mengejar lailatulqadar dan mendapat kelebihan-kelebihan pada bulan mulia itu.

Persiapan menyambut raya ini sebenarnya boleh dilakukan lebih awal bukannya pada saat akhir.

Bagaimanapun, persiapan saat akhir ini juga merupakan satu budaya kepada masyarakat kita yang kemudian menjadi lumrah yang sukar untuk diubah.

Mereka yang berjaya menikmati kemanisan Ramadan akan meneruskan momentum ibadat pada bulan-bulan mendatang. Malangnya, hanya segelintir sahaja yang meneruskannya, sekali gus menyebabkan masjid dan surau kembali sepi. Boleh Dr. ulas mengenai fenomena ini?
Ada yang begitu termotivasi untuk melakukan ibadah pada bulan Ramadan.

Malangnya, apabila menjelang Syawal, fokus dan motivasi mula berpindah ke arah lain seperti teruja menyambut raya.

Ini akan menyebabkan motivasinya untuk meneruskan amal ibadah di masjid atau surau mula menurun terutamanya setelah berakhirnya Ramadan.

Motivasi manusia ini sebenarnya tidak konsisten dan boleh naik dan turun.

Imam Al-Ghazali ada ajar teknik bagaimana cara untuk lebih bermotivasi supaya ibadah dapat dilakukan secara konsisten.

Antara kaedah yang boleh digunakan adalah dengan ‘mujahadah’, di mana kita perlu mendisiplinkan diri untuk melakukan ibadah.

Sepatutnya, Ramadan adalah tempoh memadai jika kita bersungguh-sungguh mendisiplinkan diri untuk melakukan ibadah supaya membentuk satu tabiat.

Kebiasaannya, apabila sesuatu perkara itu telah menjadi satu tabiat, kita akan rasa tidak selesa jika tidak melakukannya.

Seseorang itu perlu ada disiplin yang tinggi untuk membentuk tabiat cintakan ibadah dan sentiasa mendekati masjid atau surau meskipun Ramadan telah berakhir.

Bagi meraikan Syawal, ada antara kita yang melakukan persiapan secara berlebihan. Ada yang sanggup menukar kereta dan perabot baharu. Ada juga yang membeli lebih dari dua baju raya dengan harga mahal. Adakah amalan ini dibolehkan sekiranya seseorang itu berkemampuan?
Islam melarang perbuatan membazir dan amalan ini adalah saudara bagi syaitan.

Sekiranya kita berkemampuan bukan bermaksud kita boleh membazir.

Kita perlu melihat kembali niat membeli sesuatu. Dalam Islam, setiap harta dan apa saja yang kita beli akan dihisab di akhirat kelak.

Perkara ini perlu dipertimbangkan meskipun seseorang itu mempunyai kemampuan. Melainkan jika kita membeli sesuatu barang itu dengan niat untuk disedekahkan.

Bagaimanapun, jika ada elemen pembaziran dalam sesuatu pembelian itu, maka ia sangat tidak dibenarkan dalam Islam.

Dari sudut lain, persiapan secara berlebihan ini boleh menyebabkan seseorang itu menjadi riak atau dengan niat ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Ia merupakan satu amalan yang tidak digalakkan dalam Islam.

Apabila kita berlebih-lebihan dalam berbelanja meskipun mampu, maka ia boleh menyebabkan wujudnya dosa-dosa lain juga.

Sebagai contoh, rasa cemburu boleh wujud dalam hati saudara-mara lain yang tidak mampu jika kita menunjuk secara berlebihan.

Syawal juga menjanjikan ganjaran pahalanya tersendiri. Boleh Dr., ceritakan ibadah apa yang boleh dilakukan oleh umat Islam bagi menambah pahala?
Malam raya itu sendiri adalah waktu mustajab untuk berdoa. Masa itu, kita digalakkan untuk memperbanyakkan berdoa, bertakbir membesarkan Allah SWT bagi menambah pahala pada malam raya.

Kemudian, pada keesokan harinya iaitu pada 1 Syawal, kita mandi sunat hari raya dan solat sunat Aidilfitri.

Jangan juga kita lupa untuk menjamah sedikit makanan sebelum keluar solat sunat Aidilfitri.

Ramai antara kita lupa kerana ia merupakan salah satu amalan sunah.

Sebenarnya, banyak perkara mudah yang kita boleh lakukan untuk meraih pahala termasuk ziarah-menziarahi dan bermaafan pada hari raya.

Apabila tiba Hari Raya Aidilfitri, ramai orang yang bergembira kerana dapat berpakaian baharu dan berjumpa sanak saudara. Boleh Dr. ulas, sejauh manakah rasa gembira itu boleh digambarkan oleh seorang Muslim supaya tidak berlebihan?
Seorang Muslim perlu faham tentang maksud kegembiraan Hari Raya Aidilfitri itu sendiri.

Pada bulan Ramadan kita diberi peluang untuk beribadah dan pintu taubat dibuka seluas-luasnya.

Manakala Hari Raya Aidilfitri adalah kembali kepada fitrah, maksudnya kita dianggap kembali kepada asal dan bersih daripada dosa.

Ini kerana, kita telah berjaya melaksanakan ibadah puasa dan memohon keampunan daripada Allah SWT. Diharapkan dengan berakhirnya Ramadan dan tibanya Syawal, dosa-dosa kita diampunkan. Itulah kegembiraan yang sebenar.

Hari raya bukan sahaja kita mengenakan pakaian baharu, bergembira berjumpa sanak saudara, tetapi ia lebih kepada menambah ketaatan kita kepada Allah.

Jika seseorang itu faham akan konsep Aidilfitri, kegembiraan menyambut hari raya itu akan dilaksanakan secara sederhana dan menepati syariat Islam.

Ketika Syawal kita mengambil peluang untuk ziarah-menziarahi rumah keluarga dan rakan-rakan. Adakah amalan ini digalakkan dalam Islam dan apakah adab-adab yang perlu dipatuhi ketika berziarah?
Amalan ziarah-menziarahi ini sangat dituntut dalam Islam terutamanya untuk mengeratkan silaturahim. Ia bukan sahaja digalakkan pada hari raya, malah hari-hari lain juga.

Bagaimanapun, adab-adab ziarah perlu kita jaga.

Misalnya, memberi salam terlebih dahulu dan bukan terus masuk ke rumah yang kita kunjungi bagi memastikan aurat tuan rumah sentiasa terjaga.

Selain itu, kita harus melihat masa yang sesuai untuk ziarah agar tidak mengganggu dan memberi tekanan kepada tuan rumah.

Sebagai contoh, kita menziarah rumah tetamu itu pada lewat malam dan berada di situ untuk satu tempoh masa yang lama.

Sementara itu, ibu bapa boleh mendidik anak-anak mengenai perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan ketika berkunjung ke rumah orang.

Contohnya, didik anak untuk tidak membuka sampul raya di hadapan tuan rumah.

Apabila bertemu sanak saudara atau kenalan, ada saja persoalan yang ingin ditanyakan. Bagaimanapun, ada soalan yang tidak sepatutnya ditanya kepada orang tertentu. Adakah perkara ini melanggar adab berziarah?
Bagi saya, mereka yang tidak pandai bertanya soalan dan menjaga hati orang lain, dia sebenarnya lambang kepada masalah inteleknya yang rendah.

Orang yang tinggi kecerdasan emosi dan pemikiran, mereka mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menjaga sensitiviti orang lain dan tahu apa sepatutnya ditanya.

Dalam hadis, Nabi SAW ada menyebut bahawa barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dia perlu bertutur baik ataupun diam sahaja.

Jika soalan yang kita ajukan menyakitkan hati orang, sudah tentu akan menyebabkan berlakunya dosa.

Kita perlu mengelak perkara tersebut, meskipun niat hanya untuk bergurau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN