fbpx

Mekanik ditahan cederakan anak teman wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun empat bulan yang dipercayai dicederakan teman lelaki ibunya dalam sebuah kereta di hadapan pasaraya di Bahau, di sini, semalam.

JEMPOL – Seorang mekanik ditahan polis selepas dipercayai mencederakan anak teman wanitanya dalam kejadian di dalam kenderaan di hadapan sebuah pasaraya di Bahau, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh pengadu iaitu nenek kanak-kanak perempuan berusia dua tahun empat bulan tengah malam tadi.

Menurutnya, kira-kira pukul 10 malam semalam, ketika pengadu berada di rumahnya di Bahau, pengadu mendapati cucu perempuannya mengalami kecederaan selepas dihantar pulang oleh teman lelaki anak pengadu iaitu suspek.

“Mangsa balik ke rumah dalam keadaan menangis dan pengadu mendapat tahu mangsa dibawa keluar suspek kira-kira pukul 8.30 malam untuk membeli barang di pasar raya tanpa kehadiran ibu mangsa.

“Pengadu kemudian mendapati terdapat kesan luka pada bibir, kesan merah pada kedua-dua telinga dan kesan lebam pada lengan kiri mangsa. Pengadu cuba menghubungi ibu mangsa mahu bertanyakan apa yang berlaku namun gagal,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Chang Hook berkata, berkata, pegawai perubatan Hospital Jempol mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka pada gegendang telinga kiri, lebam pada kedua-dua telinga, luka pada bibir bawah serta lebam pada muka dan lengan kiri.

“Mangsa dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah untuk pemeriksaan lanjut pada kecederaan dalam telinga,” ujarnya.

Menurutnya, siasatan lanjut juga mendapati suspek baharu sahaja tiga bulan menjadi teman lelaki ibu mangsa dan mengaku telah menampar pipi mangsa serta memulas kedua-dua telinga mangsa semasa berada di dalam kereta.

“Kejadian berpunca kerana mangsa enggan mengikuti suspek keluar dari kereta dan mangsa telah menggigit jari telunjuk kiri suspek sehingga berdarah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI