fbpx

LZS pantau 250 ejen kutipan zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fadhil ketika ditemui pemberita pada majlis Iftar bersama muzakki dan penyerahan zakat Ramadan 2024, malam tadi. FOTO: M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa memantau pengurusan operasi 250 ejen kutipannya bagi mengelakkan berlaku penyelewengan wang zakat.

Langkah tersebut bertetapan bagi mengelakkan timbul isu penyelewengan seperti pernah berlaku di Perak sebelum ini.

Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan berkata, penelitian sentiasa dilakukan dalam pemilihan dan pelantikkan ejen dengan beberapa kriteria perlu dipatuhi oleh mereka.

Katanya, sebuah pasukan telah ditubuhkan dalam melakukan pemantauan sepenuh masa dengam melihat semua sudut termasuk operasi, sasaran kutipan dan reputasi sesebuah ejen zakat yang telah ditauliahkan LZS.

“Kita ada regular review (semakan biasa) dengan melihat setiap tahun dan banyak kita keluarkan dan masukkan ejen sebab ada kriteria yang perlu dipatuhi ejen bagi memenuhi keperluan LZS.

“Memang kita tiada masalah dan tidak teragak-agak untuk menamatkan pentauliahan mereka sebagai ejen. Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (LZS) dalam memastikan mereka membawa imej baik kepada LZS. Ini adalah cara kita urus ejen zakat ini,” katanya kepada ditemui selepas majlis Iftar bersama muzakki dan penyerahan zakat Ramadan 2024, malam tadi.

Beliau memberitahu, kebiasaannya penamatan sesebuah ejen adalah disebabkan mereka tidak mampu mencapai sasaran ditetapkan LZS bagi setiap bulan.

Selain itu, katanya, perjumpaan bersemuka turut dilakukan supaya LZS dapat mengetahui permasalahan dihadapi ejen-ejen ini.

“Sudah tentu kadang-kadang ada risiko penyelewengan, itu tidak dapat dinafikan. Namun, kita buat langkah sewajarnya dengan melihat status kewangan, imej dan sasaran ditetapkan itu.

“Setakat ini, tiada kritikal dan penyelewengan terhadap wang itu, cuma adalah kekurangan dari segi pengoperasian ejen,” jelasnya.

Ahmad Fadhil menambah, semua kutipan dibuat daripada ejen akan terus memasuki LZS bagi memastikan penyaluran agihan bertepatan dengan kutipan yang diterima daripada orang ramai.

Tegasnya, ejen zakat diperlukan bagi membantu dakwah zakat kerana mereka mempunyai sasaran dalam kumpulan tertentu termasuk di kalangan pelajar dan kakitangan universiti.

“Kadang-kadang dengan seramai 60 kakitangan tidak cukup untuk meliputi satu Selangor dan ejen zakat ini amat berguna bagi membantu penyebaran dakwah zakat itu.

“Mereka boleh mengutip zakat sepanjang tahun dan bukan pada bulan Ramadan sahaja. Di institusi zakat, ada dua waktu kemuncak iaitu pada bulan Ramadan dan Disember mungkin sebab kejar manfaat dari cukai,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada ejen-ejen ini boleh menggunakan web atau laman sosial bagi mempromosi kutipan zakat, beliau memaklumkan bahawa LZS tidak boleh ketinggalan dalam faktor digitalisasi selaras keperluan generasi masa kini selain bersemuka.

“Banyak ejen institusi dan perunding kita turut berdaftar dengan JAIS. Orang ramai boleh menghubungi LZS sekiranya terdapat keraguan pada sesebuah ejen zakat yang menyalahgunakan nama LZS,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI