fbpx

Gelombang haba terus landa Pahang, suhu boleh cecah 40 darjah Celsius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas pada tahap dua iaitu amaran gelombang haba di beberapa daerah di  Pahang yang melibatkan Jerantut, Raub, Temerloh dan Maran serta Jeli dan Gua Musang di Kelantan.

MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, amaran gelombang haba ini dijangka berlarutan di daerah-daerah tersebut sehingga Jumaat dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius.

“Dalam pada itu, cuaca panas dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius juga masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan dijangka berlarutan selama tiga hari berturut-turut.

“Cuaca panas dengan suhu tidak melebihi 37 darjah Celsius itu dijangka berlaku di keseluruhan negeri Pahang kecuali Kuantan dan Tanah Tinggi Cameron serta daerah Pasir Mas, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan,” ujar MetMalaysia.

Sementara itu, cuaca panas yang sama juga berlaku di bahagian utara Semenanjung melibatkan keseluruhan negeri Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Kota Setar, Pendang dan Baling), dan Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar).

“Turut sama terjejas dengan suhu maksimum harian tidak melebihi 37 darjah Celsius itu ialah Jelebu dan Tampin di Negeri Sembilan serta Muar dan Segamat di Johor,” ujarnya.

Tambah MetMalaysia, daerah Mukah dan Limbang di Sarawak serta Tenom, Tuaran, Kota Belud dan Kota Marudu di Sabah juga turut terkesan dengan amaran cuaca panas pada tahap satu itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI