BACHOK – Food Truck Tok Babo yang tersohor dengan roti john inti kari daging kambing di Beris Kubur Besar, di sini, kini menjadi tumpuan ramai pembeli untuk dijadikan juadah berbuka puasa.
Pengusahanya, Nabihah Ismail, 27, berkata, perniagaannya dibuka seawal pukul 3 petang hingga 6.30 petang dikunjungi pelanggan tetap yang datang membeli dalam jumlah yang banyak untuk majlis-majlis tertentu.
Menurutnya, lebih 200 biji roti john berukuran lebih 30 sentimeter laris dibeli setiap hari.
“Tempahan awal turut diterima bagi pembelian yang banyak daripada pembeli untuk majlis berbuka puasa atau mengagihkan roti berkenaan kepada asnaf dan masjid berdekatan.
“Sebanyak 16 kilogram daging kambing dan lembu digunakan selain lebih 600 biji telur ayam untuk adunan dan pembungkus roti,” katanya ketika ditemui di Beris Kubur Besar, di sini kelmarin.
Anak bongsu daripada empat beradik itu menjadikan perniagaan warisan keluarganya sebagai kerjaya tetapnya sejak tiga tahun lalu.
Menurut Nabihah, roti john seharusnya ditukar nama kepada roti panjang Tok Babo untuk menampakkan ia adalah juadah keluaran tempatan.
Roti john berintikan daging kambing dijual pada harga RM12 sebiji, roti balut telur dan campuran keju (RM14), roti isi sardin (RM10) dan roti john biasa berharga RM10.














