fbpx

Kedah umum bantuan khas Aidilfitri RM500, dibayar Isnin ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 seorang kepada 5,221 penjawat awam negeri itu yang akan dibayar pada Isnin ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pembayaran bantuan khas itu akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.61 juta

“Dalam Bajet 2024, kerajaan negeri telah meluluskan bantuan khas kewangan kepada kakitangan kerajaan negeri sebanyak RM2,000 yang dibayar dua kali pada Disember tahun lalu dan 26 Mac lalu.

“Hari ini kita buat keputusan sekali lagi untuk memberi bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada kakitangan awam kerajaan negeri Kedah,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri juga akan memberi sumbangan sebanyak RM200 seorang kepada seramai 2,335 Pengerusi dan Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) di negeri ini untuk membuat persiapan sempena Aidilfitri.

“Pemberian sumbangan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM467,000 dengan tarikh pembayaran juga pada 8 April ini,” ujarnya.

Muhammad Sanusi turut menjemput semua rakyat negeri ini hadir ke Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, di sini yang dijadualkan berlangsung dari pukul 11 pagi hingga 4 petang, 18 April ini.

“Ada beratus-ratus juadah yang kita sediakan dengan saya turut menyediakan 15 ekor kambing golek pada hari tersebut, selain ada persembahan hiburan sedikit daripada Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah dan kumpulan nasyid.

“Rumah terbuka kali ini juga kita tambah makanan, tambah keluasan kerana kita ambil kira kita menang 33 Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri) sebelum ini dan lebih ramai pengunjung yang akan datang,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI