fbpx

Penyeludup rokok sogok pegawai APMM didenda RM20,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chong Yee ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Seorang penyeludup rokok didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM3,000 kepada seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tahun lalu.

Tertuduh, Lim Chong Yee, 43, membuat pengakuan bersalah tersebut atas pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu selain wang RM3,000 itu dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa telah secara rasuah memberikan suapan wang RM3,000 kepada pegawai APMM Selangor sebagai balasan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang kepadanya kerana membawa masuk rokok seludup.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kafe di Bandar Bukit Tinggi, Klang dekat sini pukul 8.05 malam, 25 September tahun lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai satu perempat daripada tempoh pemenjaraan yang lama sekali diperuntukan bagi kesalahan itu atau denda atau dengan kedua-duanya.

Chong Yee yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dikurangkan kerana mempunyai tanggungan seorang isteri dan tiga orang anak selain menyara kedua ibu bapanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Alif Shaharuzaman memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI