fbpx

Belanja sekolah selesai, kini ibu bapa fikir pasal raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

DALAM kesibukan mengejar 10 hari terakhir umat Islam berpuasa, golongan ibu bapa turut sama sibuknya mempersiapkan diri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

Keterujaan itu hadir hanya beberapa minggu selepas ibu bapa turut ‘berhabis’ untuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anak.

Banyak modal sudah dikeluarkan terutama bagi mereka yang mempunyai bilangan anak yang ramai.

Bagaikan tidak sempat bernafas, poket ibu-bapa sekali lagi ‘dirobek’ apabila mereka perlu keluarkan modal membeli pakaian baharu serta kelengkapan hari raya.

Melihat pelbagai promosi potongan harga sempena hari raya bersama pelbagai pakej tawaran lain, sememangnya ia umpama peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan menyebab wang keluar ibarat air mengalir.

Berhubung hal ini, kemahiran menguruskan kewangan ditagih dalam kalangan ibu bapa untuk mengamalkan budaya berjimat, namun dalam masa yang sama tidak mengabaikan keperluan anak-anak untuk berhari raya.

Keluhan dari sudut pandang peniaga pula, rata-rata mereka mengakui kuasa beli rakyat semakin berkurang khususnya peniaga bazar Ramadan yang mana semakin tidak meriah berbanding tahun sebelumnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan para peniaga bazar Aidilfitri amat mengharapkan jualan fizikal mereka untuk mendapat sambutan dalam menghadapi persedian hari raya pada saat-saat akhir menjelang hari raya.

Mereka berpendapat orang ramai masih berkira-kira dalam berbelanja dan memilih untuk meninjau harga barangan sahaja sebelum beredar dari gerai jualan menjadikan pulangan harian RM1,000 merudum kepada RM400.

Tidak hanya masalah menghimpit peniaga, ibu bapa yang berperanan sebagai pengguna turut terkesan dengan masalah peningkatan kos sara hidup yang dirasai hari ini.

Ini termasuklah isu untuk mendapatkan beras putih tempatan.

Baru-baru ini juga, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengesahkan bekalan beras putih tempatan masih tiada di kebanyakan pasar raya hasil tinjauan di pasar raya seluruh negara.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, berdasarkan tinjauannya, hanya beras putih import yang berharga lebih mahal stabil di pasaran.

“Hanya sedikit pasar raya (di seluruh negara) mempunyai (bekalan) beras putih tempatan. Pemeriksaan mengejut saya di pasar-pasar raya di sekitar Kuala Terengganu hari ini juga dapati masih tiada beras putih tempatan.

“Saya dimaklumkan sudah empat bulan pembekal tidak hantar,” katanya.

Justeru itu, penulis menyarankan ibu bapa agar sentiasa bersederhana iaitu tidak terlalu bermewah dan tidak terlalu kedekut sehingga merencatkan suasana hari raya.

Di samping bersederhana ketika berbelanja, pengguna perlu memastikan barangan yang dibeli adalah keperluan dan bukannya kehendak sehingga menjurus ke arah pembaziran dan sentiasa beringat untuk ukur baju di badan sendiri.

Penulis berharap pengguna khasnya golongan ibu bapa bijak dalam berbelanja dan tidak terjerumus kearah pinjaman wang tidak berlesen yang mana akan merugikan diri kelak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI