fbpx
SHA pernah mengalami depresi disebabkan masalah bisnes pada tahun 2018.

Sha bangkit selepas alami fasa sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP daripada kita pasti ada jalan cerita hidup tersendiri.

Tidak dinafikan, dalam kehidupan yang serba mencabar ini, pasti ada cabaran dan ujian yang terpaksa ditempuhi sebelum seseorang itu menggapai kejayaan.

Siapa sangka, pada usia 28 tahun, anak jati Kota Bharu, Kelantan ini mampu mengubah hidup, sekali gus membela orang tuanya yang merupakan peniaga jalanan.

Kehilangan bapa serta dilahirkan dalam keluarga susah menjadi titik tolak kepada kebangkitan usahawan cantik, Wan Nur Siti Aisyah Wan Hasan.

“Tidak malu untuk saya katakan yang saya berasal daripada keluarga susah. Arwah ayah dulu peniaga jalanan yang hanya buka gerai di tepi jalan.

“Kami memang hidup susah. Ayah meninggal ketika saya berusia 10 tahun.

“Selepas itu, ibu terpaksa bekerja demi menyara kami sekeluarga.

“Tak sanggup melihat kepayahan ibu, saya nekad untuk mengubah nasib keluarga ketika itu,” katanya kepada Aura baru-baru ini.

Disebabkan kesusahan keluarga, wanita yang mesra disapa Sha itu terpaksa membuang jauh impiannya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana tidak mahu membebankan keluarga.

Katanya, selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mendapat tawaran menyambung pengajian ke sebuah Matrikulasi di Negeri Sembilan dan universiti awam, namun memilih untuk bekerja di kampung sahaja.

SHA berjaya mengubah nasib hidupnya selepas bergelar usahawan produk kecantikan.

“Kalau ikutkan, keluarga tidak galakan saya berniaga kerana mahu saya ada kerja tetap. Namun, saya terus berniaga sambil belajar.

“Jadi, saya pilih sambung belajar di kampung selepas beberapa tahun kerana dekat dengan rumah dan mudah hendak berbisnes.

“Pelajaran tetap keutamaan saya kerana tidak mahu kecewakan harapan keluarga terutama ibu,” ujarnya.

Meneruskan perkongsian, Sha berkata, selepas berniaga produk orang lain selama beberapa tahun, dia mula terdetik untuk mempunyai produk kecantikan sendiri.

“Pada peringkat awal, saya betul-betul struggle (susah) bina jenama Shalicious ini.

“Saya berusaha sungguh-sungguh selama beberapa tahun untuk memajukan bisnes ini. Selepas itu, saya berjaya dan dapat bina sebuah Wisma Shalicious di Kelantan,” katanya.

Di sebalik kejayaan dan rancak berbisnes, dia juga pernah diuji pada tahun 2018 apabila berpuluh-puluh staf syarikatnya berhenti serentak.

Katanya, ketika itu, dia percaya semua staf berhenti disebabkan perbuatan keji rakannya sendiri yang kononnya baik dan mahu membantu.

“Akibat terlalu tertekan dengan masalah dan ujian dihadapi, saya terpaksa berjumpa dengan pakar psikologi.

“Masa itu saya memang betul-betul depression (depresi) dan ambil masa lama untuk pulih.

“Saya juga terpaksa bergantung dengan ubat untuk jangka masa tertentu sebelum disahkan pulih sepenuhnya,” katanya.

Ujarnya, dia menerima dugaan tersebut dan terus kuat demi anak, keluarga dan bisnes yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN