fbpx
Slovenia memiliki pemandangan menakjubkan.

Slovenia permata tersembunyi Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LJUBLJANA, ibu kota Slovenia. Nama yang saya masih belum fasih cara menyebutnya dengan betul.

Tempat yang membuatkan saya terfikir bahawa diri ini satu-satunya pelancong Asia di situ ketika itu.

Ini kerana, ibu kota itu bukan destinasi yang terkenal dalam kalangan pelancong Asia.

Ljubljana cukup kecil dan boleh dijelajahi dalam sehari dengan berjalan kaki. Terdapat beberapa tempat yang memiliki panorama indah dan sesuai untuk bergambar.

Antaranya, Prešeren Square, Red Franciscan Church, Križanke Outdoor Theatre, Cobbler Bridge, Dragon Bridge, Vurnik House, Main Town Square, The National and University Library dan Ljubljana Castle.

Kedudukan Ljubljana Castle di atas bukit menawarkan pemandangan indah bandar berkenaan. Pengunjung juga boleh berjalan-jalan di bahagian luar istana ini kerana ia adalah percuma.

Setiap kali melawat sesuatu negara, saya akan mencuba makanan tempatan.

Di sini, saya mencuba makanan tradisional Slovenia seperti jota (stu panas dengan sauerkraut dan kentang) disertai kranjska klobasa dan roti dengan harga €7 (RM36.03) di Klobasarna Cafe.

Untuk pilihan vegetarian dan halal, anda boleh makan sauerkraut (kobis diperam) dengan kentang dan roti.

Jangan lupa mencuba prekmurska gibanica (kek lapis dengan biji popi, walnut, keju kotej dan epal) di Slovenska Hiša.

Selepas melihat gambar-gambar Pulau Bled yang seolah-olah terapung di Danau Bled, saya terus membuat keputusan untuk pergi ke sana.

Saya ambil bas dari stesen bas Ljubljana ke Bled dengan harga €5.70 (RM29.17). Perjalanan memakan masa 40 minit.

Anda juga boleh membeli tiket bot elektrik dengan harga €14 (RM71.82) seorang untuk pergi dan balik ke Pulau Bled di stesen bas Ljubljana.

Ada beberapa kawasan yang sesuai untuk menaiki bot dan perjalanan paling dekat adalah di hadapan Hotel Park serta Casino Bled.

Pemandangan landskap Danau Bled cukup mengagumkan.

Kemasukan percuma untuk meneroka Pulau Bled.

Anda boleh menghabiskan masa selama mana yang mahu dan pulang ikut jadual bot.

Jangan lupa untuk mendaki Ojstrica jika anda mahu melihat pemandangan landskap Danau Bled yang menakjubkan.

Masa terbaik untuk melawat Danau Bled adalah sebelum pertengahan Oktober kerana kebanyakan aktiviti dan tarikan akan tutup pada akhir Oktober kerana hujan lebat.

Vintgar Gorge pula merupakan tempat yang wajib dikunjungi apabila anda melawat Danau Bled.

Bagaimanapun, kawasan ini hanya boleh dilawati dari April hingga November sekiranya tidak hujan kerana Vintgar Gorge senang banjir.

Jika melawat secara solo seperti saya pada musim luruh, anda mungkin menghadapi kesukaran mencari perkhidmatan pengangkutan ke Vintgar Gorge. Mereka memerlukan sekurang-kurangnya dua orang.

Nasib saya berubah menjadi baik pada saat-saat akhir apabila terdapat seorang lagi pengembara solo yang mahu ke tempat sama.

Perlu diingatkan, sekali masuk ke Vintgar Gorge, anda tidak boleh berpatah balik. Oleh itu, rancang perjalanan pulang pada titik berbeza.

Kos pengangkutan serta tiket kemasukan ke Vintgar Gorge adalah bernilai €20 (RM103) seorang.

Saya menghabiskan masa selama enam hari dan lima malam di Slovenia iaitu dua malam di Ljubljana serta tiga malam di Bled.

Adakah ini cukup? Sudah tentu tidak.

Saya akan kembali ke Slovenia kerana terdapat banyak tempat yang belum saya terokai.

Saya berharap perkongsian ini dapat memberikan inspirasi kepada anda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN