fbpx

Sindiket seleweng minyak diesel diserbu KPDN, libat rampasan lebih RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamalludin memeriksa treler yang digunakan untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi ketika serbuan dilakukan di sebuah premis di Simpang Empat, Hutan Melintang di Bagan Datuk semalam. - Foto IHSAN KPDN

BAGAN DATUK – Serbuan terhadap sindiket disyaki mengubah suai tangki asal treler untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Simpang Empat, Hutan Melintang di sini semalam menyaksikan rampasan bernilai RM1,002,705 dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi pada pukul 12.30 tengah hari itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Teluk Intan setelah pihaknya melakukan risikan selama seminggu di sekitar Hutan Melintang selain maklumat dari orang awam.

Beliau berkata, risikan dan pemantauan dijalankan itu mendapati modus operandi sindiket tersebut adalah dengan cara menggunakan beberapa kepala treler yang disyaki telah diubah suai tangki asalnya dan membuat pembelian minyak diesel berulang kali di stesen minyak sekitar Hutan Melintang.

“Minyak diesel yang dibeli itu kemudiannya akan dipindahkan ke skidtank yang diletakkan di sebuah premis disyaki tidak berlesen. Ketika serbuan dilakukan, sindiket ini sedang memindahkan minyak dari tangki asal kenderaan ke sebuah skidtank menggunakan pam penyedut minyak.

“Sindiket dipercayai kemudiannya akan menjual kepada pengguna industri dengan mengambil keuntungan berlipat kali ganda.

“Minyak diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3 hingga RM4 per liter mengikut harga pasaran minyak diesel industri,” katanya di sini hari ini.

Kamalludin berkata, hasil pemeriksaan lanjut telah menemui anggaran sebanyak 4,415 liter cecair yang disyaki minyak diesel di lokasi kejadian.

Beliau berkata, cecair yang disyaki minyak diesel, lapan buah skidtank, peralatan pam penyedut, tiga buah treler dan dua buah lori 5 tan telah disita untuk siasatan lanjut.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1,002,705. Dua orang lelaki tempatan berumur 50 dan 61 tahun yang disyaki pemandu dan pengurus premis telah ditahan untuk siasatan lanjut. Stesen minyak yang disyaki bersubahat juga
akan disiasat dan diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kamalludin memberitahu, seseorang selain dari badan korporat tetapi termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961 apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI