fbpx

Agihan ASB 2 5.25 sen, ASM 4.75 sen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 untuk dua dana harga tetapnya, iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).

ASB 2 mengisytiharkan agihan 5.25 sen seunit kepada 552,297 pemegang yang kini memiliki keseluruhan 12.73 bilion unit, melibatkan jumlah agihan pendapatan sebanyak RM0.67 bilion.

Sementara ASM mengisytiharkan agihan 4.75 sen seunit kepada 699,807 pemegang dengan pegangan keseluruhan 28.05 bilion unit, melibatkan jumlah agihan sebanyak RM1.33 bilion.

ASNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, sehingga 25 Mac 2024, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM659.95 juta, manakala ASM mencatatkan RM1,416.01 juta.

“Kedua-dua dana telah memperolehi pendapatan menerusi pendapatan terealisasi dan dividen daripada pelaburan domestik dan antarabangsa dalam persekitaran inflasi yang tidak menentu serta keraguan terhadap kemelesetan ekonomi yang meningkat.

“Kedua-dua dana juga telah memperolehi hasil daripada strategi kepelbagaian portfolio dalam kelas aset lain seperti hartanah dan pelaburan persendirian, dengan penekanan terhadap instrumen pendapatan tetap yang menyediakan pendapatan berulang stabil.

“Pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 5.25 peratus dan 4.75 peratus, kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 2.84 peratus, sebanyak 241 mata asas untuk ASB 2 dan 191 mata asas untuk ASM,” katanya.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2024.

Urus niaga ASB 2 dan ASM di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet akan ditangguhkan sementara dari 29 hingga 31 Mac 2024 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI