fbpx

Terengganu laksana solat hajat tuntut royalti minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Khalil. -Foto FACEBOOK

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk menganjurkan solat hajat perdana menuntut semula royalti hasil petroleum di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 6 April depan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program solat hajat itu bertujuan agar rundingan dengan kerajaan Persekutuan supaya pembayaran royalti tersebut kembali disalurkan kepada kerajaan negeri dipermudahkan.

Beliau berkata, setakat ini, kerajaan negeri Terengganu masih belum menerima royalti minyak bagi sebahagian tahun lalu dan tahun ini yang dianggarkan lebih RM1.5 bilion.

“Keadaan ini menyebabkan perancangan kerajaan negeri diumumkan dalam Belanjawan 2023 dan 2024 terbantut dan tergendala.

“Akibatnya siri bantuan dan inisiatif daripada kerajaan negeri yang sepatutnya rakyat terima tidak berjaya dilaksanakan,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Khalil berkata, usaha akan digandakan termasuk menerusi saluran undang-undang bagi memastikan royalti hasil petroleum terbabit kembali disalurkan menerusi kerajaan negeri Terengganu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Mac lalu menegaskan kerajaan Persekutuan tidak pernah zalim terhadap Terengganu malah peruntukan Pemberian Persekutuan dan Belanja Pembangunan terhadap negeri itu meningkat setiap tahun.

Beliau berkata, sebanyak RM1.59 bilion peruntukan Belanja Pembangunan akan diagihkan untuk Terengganu pada tahun ini berbanding RM1.55 bilion pada tahun 2023.

Anwar berkata, kesemua peruntukan tersebut akan disalurkan secara terus kepada rakyat Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI