fbpx
Kandungan media sosial menipu makin banyak dijadikan modal influencer mendapatkan duit. Gambar hiasan

Kaut untung bikin video palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Terdapat segelintir pempengaruh di negara ini sanggup menghasilkan kandungan palsu untuk dimuat naik di media sosial semata-mata mahu mengejar populariti dan dikenali ramai.

Lebih melampau, mereka sanggup mengupah individu tertentu untuk melakonkan satu-satu watak bagi memperdaya orang ramai.

Antara watak itu adalah menyamar orang susah bagi meraih simpati kononnya bagi tujuan eksperimen sosial selain berpura-pura menerima hadiah lumayan sedangkan tawaran itu sebenar­nya tidak wujud.

Perbuatan itu dipercayai ditiru daripada pempengaruh luar negara yang menggunakan idea tersebut untuk menaikkan jumlah pengikut dan tontotan.

Sikap tidak berhemah itu secara tidak langsung memberi kesan kepada penghasil kandungan lain yang jujur.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata, content creator sekarang perlu bersaing dalam penghasilan kandungan yang lebih kreatif dan terbaik.

“Ini kerana dunia media sosial sekarang berada dalam fasa kemuncak yang mana pengguna bergantung kepada platform itu.

“Jadi, mereka tiada pilihan termasuk membuat kandungan palsu sekali gus membantu menjana pendapatan di media sosial,” katanya baru-baru ini.

Menurut beliau, content creator yang tidak bertanggungjawab itu juga memanipulasi sesuatu perkara bagi menghasilkan kan­dungan yang menyeronokkan untuk meraih tontotan tinggi.

“Mereka boleh membuat lakonan dan sebagainya, tetapi perlu ada disclaimer (penafian) bagi memaklumkan ia lakonan semata-mata, tetapi itu tidak berlaku,” ujar beliau.

Siraj memberitahu, penghasilan kandungan palsu perlu dibendung secara serius kerana dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

“Kerajaan perlu bertindak tegas kerana ia merupakan salah satu daripada kriteria berita palsu dan tindakan tegas perlu dikenakan. Berita palsu tidak semestinya isu politik, organisasi atau individu tetapi cubaan mengeksploitasi pemikiran masyarakat untuk mempercayai kandungan (palsu) itu adalah betul,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan juga di­saran supaya mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 termasuk berkaitan penghasilan kandungan palsu.

“Selain penguatkuasaan undang-undang, paling utama pendidikan tentang kepenggunaan siber. Bagi saya, kerajaan wajib mewujudkan subjek kepenggunaan siber sejak sekolah rendah.

“Malah, lebih baik jika ilmu itu didedahkan dari peringkat tadika. Saya hendak tanya sejak usia berapa anak-anak kita didedahkan dengan internet,” soalnya.

Tambahnya, rata-rata rakyat negara ini menggunakan platform media sosial tanpa ilmu yang betul dan secukupnya.

“Kita menggunakan media sosial ‘pandai-pandai sendiri, tiada ilmu tentang etika dan integriti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN