fbpx

38.8 peratus rakyat Kelantan sudah kemas kini, daftar Padu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhd. Nor Aswadi (berdiri, dua dari kiri) membantu seorang wartawan mendaftar Padu di Pejabat Penerangan Daerah Kota Bharu, Jalan Tok Hakim di Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROSLIZA MOHAMED / KOSMO!

KOTA BHARU – Sebanyak 484,639 orang atau 38.8 peratus daripada 1.2 juta rakyat Kelantan sudah mendaftar dan mengemas kini sistem Pangkalan Data Utama (Padu) setakat semalam.

Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Kelantan, Muhd. Nor Aswadi Md. Nor berkata, meskipun jumlah itu dilihat rendah, Kelantan sebenarnya merupakan negeri di Pantai Timur yang tertinggi mendaftar dan mengemas kini Padu.

Menurutnya, justeru, orang ramai tidak perlu bimbang kerahsiaan keselamatan maklumat mereka terjamin kerana sistem Padu diselenggara oleh pegawai kerajaan yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Sistem yang digunakan juga menggunakan sistem dikelolakan pihak Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), siber sekuriti dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

“Sehubungan itu, penduduk di Kelantan disarankan untuk mendaftar Padu sebelum 31 Mac ini selepas ia dimulakan pada 2 Januari lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Pendaftaran dan Mengemas Kini Padu bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Pejabat Penerangan Daerah Kota Bharu, Jalan Tok Hakim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhd. Nor Aswadi memberitahu, langkah mendaftar dan mengemas kini sistem Padu itu bagi mengelakkan orang ramai tidak tercicir daripada untuk menerima bantuan kerajaan.

Menurutnya, orang ramai boleh berbuat demikian dengan bantuan Jabatan Perangkaan yang sudah mengambil tindakan proaktif sebelum ini dengan membuka kaunter pendaftaran di beberapa lokasi terpilih, selain bekerjasama dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi).

“Japen Kelantan juga bersedia untuk menggerakkan perkhidmatan kaunter bergerak melalui hebahan untuk masuk ke lokasi tertentu bagi memberi peringatan, kesedaran kepada orang ramai dan penduduk kampung mengenai Padu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI