fbpx

Tiada bonus Aidilfitri untuk penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) ketika berkunjung ke Bazar Ramadan Mahkota Square, Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) disediakan kepada penjawat awam pada tahun ini.

Beliau berkata, ia berikutan penjawat awam perlu melihat dari konteks pemberian insentif awal kajian sistem saraan perkhidmatan awam berjumlah RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah yang diluluskan sebelum ini.

“Kita baru luluskan RM2,000 dan ini lebih dari tahun sudah dan akan datang skim persaraan naikkan gaji. Jadi kita kena lihat dari konteks itulah,” katanya selepas melakukan tinjauan mesra di Bazar Ramadan Mahkota Square, di sini hari ini.

Sebelum ini pada 15 Mac lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sempena Aidilfitri.

Presidennya, Dr Adnan Mat berkata, pihaknya merayu supaya kerajaan pimpinan Anwar mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan sejak 10 tahun lalu.

Tegas Anwar, pemberian insentif RM2,000 dan kenaikan gaji untuk skim persaraan merupakan berita terlalu baik untuk penjawat awam tahun ini.

Menyentuh tentang isu penangguhan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) melibatkan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri Sarawak, Anwar berkata, perkara terbabit akan dijelaskan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada minggu hadapan.

“Saya sempat berbincang dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beliau telah memberikan beberapa kebimbangan dan pelbagai persoalan dibangkitkan.

“Saya telah meminta Menteri Ekonomi untuk meneliti perkara ini dan menjelaskan kepada jemaah menteri minggu hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI