fbpx
JUMLAH jemaah yang memilih untuk berbuka puasa di Masjid Kapitan Keling, George Town meningkat pada Ramadan kali ini.

Ramai buka puasa di masjid, bukan semata-mata berjimat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Masjid-masjid di seluruh negara kini meriah dengan kehadiran jemaah tidak kira golongan berkeluarga atau bujang untuk berbuka puasa dan beribadah.

Tinjauan Kosmo! di beberapa negeri mendapati, selain dapat menjimatkan belanja untuk berbuka, orang ramai juga mengakui mereka lebih selesa dan mudah menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih di masjid.

Pihak pengurusan masjid pula memberitahu, jumlah jemaah yang hadir untuk berbuka puasa di masjid bertambah sehingga 50 peratus tahun ini.

Di George Town, seorang jurutera kilang, Ahmad Syafi, 45, berkata, dia memilih untuk berbuka puasa di masjid tahun ini memandangkan dekat dengan tempat kerjanya selain mudah untuk menunaikan solat tarawih.

“Selain jarak tempat kerja yang dekat dengan masjid, saya memilih untuk berbuka puasa di situ kerana mereka menyediakan pelbagai juadah istimewa.

“Menu setiap hari juga berbeza dan sudah tentu dapat menjimatkan kos harian. Ada juga makanan ditempah daripada katerer luar. Saya berpeluang bersolat tarawih dengan selesa sebelum pulang ke rumah.

“Kebiasaannya saya akan berbuka puasa dengan keluarga di rumah pada hujung minggu sahaja,” katanya di sini kelmarin.

Seorang kakitangan swasta, Azhari Mohamad, 38, berkata, dia dapat berjimat kira-kira RM20 sehari jika memilih berbuka puasa di masjid sepanjang Ramadan.

“Bayangkan, jika beli makanan seperti set nasi beriani, kuih-muih, air dan makanan bergo­reng akan menelan belanja kira-kira RM20 hingga RM30 sehari.

“Selagi boleh berjimat, saya berjimat, setiap hari mesti penuh hingga kadang-kadang tiada tempat duduk. Pihak masjid juga alu-alukan kehadiran tetamu,” ujarnya.

SEBAHAGIAN jemaah beratur mengambil makanan berbuka puasa
di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus.

Setiausaha Masjid Kapitan Keling, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, kira-kira 300 hingga 450 jemaah hadir berbuka puasa di masjid berusia hampir 200 tahun itu pada hari pertama dan kedua Ramadan.

“Jumlah itu berbeza dengan Ramadan tahun lalu apabila kira-kira 200 jemaah yang hadir berbuka puasa di masjid ini.

“Tahun ini jumlah kehadiran mereka meningkat hingga 50 pe­ratus berbanding 30 peratus tahun lalu. Memang ini dikatakan satu fenomena baharu,” ujarnya.

Katanya, mereka yang hadir dilihat berusia dalam lingkungan 40-an ke atas, manakala golongan berkeluarga dilihat pada setiap hujung minggu.

“Kita faham, situasi ekonomi semasa mungkin jadi punca kehadiran mereka berbuka di masjid sekali gus berkesempatan bersolat tarawih,” katanya.

Jelasnya, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM120,000 untuk penganjuran pelbagai program termasuk majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan, moreh, malam 27 Ramadan, edaran bubur lambuk dan program didikan kanak-kanak.

“Wang peruntukan itu adalah hasil sumbangan orang ramai bagi tujuan mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan ini.

Di Shah Alam, seorang pekerja swasta yang ditemui di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Jefri Mariyo, 40, selain dapat berjimat, pahala solat berjemaah turut menjadi idamannya.

“Ramadan bukan sekadar untuk menahan lapar dan dahaga tetapi masa untuk bertemu de­ngan penduduk setempat dalam suasana muhibah,” katanya.

Seorang penduduk Seksyen 20, Shah Alam yang ditemui di masjid sama, Sharif Azman, 51, berkata, sememangnya berbuka di masjid juadahnya terhad tetapi tetap mengenyangkan.

“Saya sering berbuka di masjid kerana fokus kepada solat jemaah berbanding membeli di bazar. Selepas balik dari masjid boleh makan di rumah apa sahaja juadah dimasak isteri.

“Tiga kali seminggu saya berbuka dengan keluarga di rumah termasuk solat fardu dah tarawih berjemaah,” ujarnya.

Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Ahmad Zaffran Hakimi, 21, berkata, dia yang masih menjalani latihan praktikal sering ke masjid negeri untuk berbuka puasa demi menjimatkan kos.

Penuntut yang berasal dari Perak itu berkata, dengan berbuka di masjid dia dapat menjimatkan hampir RM300 sebulan.

Di Kuala Nerus, Pengerusi Masjid Seberang Takir, Zakaria Dagang berkata, lebih 100 jemaah berbuka puasa di masjid itu setiap hari sejak 1 Ramadan.

“Tradisi di masjid ini berbuka dahulu dengan buah tamar dan air mineral sebelum menikmati hidangan nasi dan lauk-pauk selepas selesai solat maghrib berjemaah.

“Selain ahli kariah, kebanya­kan individu yang berbuka puasa di masjid ini terdiri daripada golongan musafir. Penyewa rumah inap kelolaan masjid juga dijemput untuk berbuka puasa bersama.

“Penyediaan berbuka puasa percuma ini juga sebagai meme­nuhi niat bersedekah penyumbang,” katanya.

Seorang jemaah, Rozita Hamdan, 57, berkata, dia memilih berbuka puasa di masjid itu setiap malam sejak tiga tahun lalu.

“Saya sebenarnya menetap di Kuala Lumpur, namun sejak kematian suami, setiap kali Ramadan, saya menyewa rumah inap Masjid Seberang Takir ini bagi memudahkan urusan beribadah.

“Saya akan mengikuti semua aktiviti anjuran masjid ini se­perti beriftar beramai-ramai, solat fardu dan sunat, bertadarus al-Quran dan qiamullail,” katanya.

Rozita berkata, berbuka puasa di masjid amat menenangkan dan memudahkan dia untuk fokus beribadah termasuk me­nunaikan solat sunat tarawih.

Seorang lagi jemaah, Nik Salimah Nik Adnan, 38, pula berkata, dia dan suami berbuka puasa di masjid untuk memupuk kesederhanaan ketika berbuka puasa dalam keluarganya terutama anak-anak mereka berusia empat hingga 10 tahun.

Tambahnya, mereka sekelu­arga akan beriktikaf di dalam masjid terbabit sehingga selesai solat sunat tarawih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN