fbpx
Zaiton mengambil alih bisnes katering diusahakan arwah bapanya sejak 2004.

Zaiton sambung legasi bapa urus katering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA memilih perniagaan katering tidak lain tidak bukan kerana mahu menyambung legasi arwah bapa yang terlebih dahulu memulakan bisnes ini.

“Pada masa sama, hobi dan minat memasak membuatkan saya lagi jatuh cinta dengan perniagaan katering yang diusahakan ketika itu.”

Itu antara sebab dan alasan wanita cekal ini masih ‘setia’ dalam menguruskan perniagaan katering sejak mengambil alih bisnes tersebut pada 2004.

Menurut Datin Zaiton Abdul Rahman yang juga Pengarah Urusan Zai Sri Gemilang, sebelum melibatkan diri dalam perniagaan katering, dia hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa.

Menurutnya, disebabkan selalu mengikut arwah bapanya memasak dan menyediakan perkhidmatan katering, mula timbul minat dan cintanya kepada perniagaan tersebut sehingga bertukar tangan.

Ujar wanita kelahiran Kluang, Johor itu, dia bersyukur perniagaan kateringnya semakin dikenali dan mampu bertahan sampai ke saat ini.

“Sebelum anak-anak menyertai syarikat, saya dan suami sahaja yang merancang dan menjalankan operasi Zai Sri Gemilang.

“Antara cabaran awal yang saya hadapi, kami terpaksa menghantar makanan katering dengan memandu sendiri van syarikat ke tempat majlis.

“Tidak sekadar itu, saya dan suami juga pernah ditipu oleh pembekal bahan mentah sehingga menjejaskan operasi dan servis syarikat kami ketika itu,” katanya.

Menurut wanita berusia 62 itu, ada juga beberapa pencapaian dan kenangan manis yang tidak akan pernah dilupakannya sepanjang bergelar usahawan katering.

ZAITON (depan, tengah) bersama kakitangan syarikat Zai Sri Gemilang.

“Pencapaian paling manis adalah dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada Permaisuri Selangor, Permaisuri Pahang dan kerabat diraja.

“Selain itu, kami pernah menghidangkan makanan kepada barisan Menteri Besar Selangor, orang-orang ternama dan artis-artis popular tempatan,” katanya yang mempunyai premis perniagaan sendiri di Shah Alam, Selangor.

Ditanya mengenai keunikan dan kelebihan yang ada pada perniagaan katering miliknya berbanding pesaing lain, ibu kepada empat orang cahaya mata itu ada jawapan tersendiri.

Katanya, dia sendiri bertindak memantau proses penyediaan dari awal hingga tiba kepada pelanggan.

“Saya akan pastikan hanya bahan-bahan premium dan berkualiti sahaja yang diguna pakai oleh pasukan.

“Kami juga mementingkan dan mengutamakan maklum balas atau cadangan penambahbaikan daripada pelanggan bagi meningkatkan kualiti makanan yang ditawarkan,” katanya.

Bercakap mengenai perkhidmatan, dia berkata, Zai Sri Gemilang memfokuskan kepada pakej perkahwinan dan korporat.
Katanya, bagi korporat, biasanya seperti majlis makan malam, majlis penghargaan dan banyak lagi yang berskala besar.

“Istimewanya pada Ramadan kali ini, Zai Sri Gemilang menganjurkan ‘Bufet 25 Malam’ yang berkonsepkan Asia Barat.

“Hidangan eksklusif adalah nasi Arab kambing sujud selain menu istimewa shawarma Zai.

“Bufet yang berakhir 7 April depan itu turut membawakan artis-artis pilihan untuk sama-sama berbuka puasa dan memeriahkan suasana dengan lagu-lagu mereka.

Antaranya, In-Team, Zamani, Ezad Lazim dan Haziq Rosebi,” katanya.

Menutup perbualan, Zaiton turut memasang impian untuk melihat Zai Sri Gemilang berkembang dengan cemerlang.

“Alhamdulillah untuk pencapaian sehingga ke hari ini. Susah payah sebelum ini Allah SWT balas dengan kejayaan manis.

“Insya-Allah, saya meletakkan sasaran untuk membina dewan acara sendiri dan menjadikan Zai Sri Gemilang pusat tumpuan bagi bakal-bakal pengantin merealisasikan majlis perkahwinan idaman mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN