KUALA TERENGGANU – Seorang ibu berharap agar anak perempuannya yang juga orang kelainan upaya (OKU) lembam pulang ke pangkuan keluarga pada Ramadan ini selepas menghilangkan diri sejak lima bulan lalu.
Zaiton Mamat, 51, berkata, Nur Aini Adila Mohd. Zamri, 20, yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik tidak pulang selepas keluar dari rumah di Kampung Ladang Sehat, di sini, pada 7 Oktober tahun lalu.

“Sewaktu keluar, Adila memakai baju-T lengan panjang warna kelabu dan berseluar hitam.
“Saya tidak sempat menghalangnya keluar rumah kerana sedang berada di dalam bilik air untuk mengambil wuduk pada waktu itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Zaiton mengakui ini bukan pertama kali anaknya yang mesra dipanggil Adila tersebut melarikan diri, namun sebelum ini dia berjaya ditemui kembali tidak lama selepas itu.
Dia menjelaskan walaupun secara fizikal anak perempuan sudah berusia 20 tahun, pemikirannya seperti kanak-kanak sembilan tahun.
“Saya dan suami, Mohd. Zamri Zakaria, 55, sangat bimbang dan tidak tidur lena setiap malam mengenangkan Adila.
“Kami berdoa agar keberkatan Ramadan ini dapat membawa pulang dia semula ke pangkuan keluarga sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Zaiton berkata, sepanjang bulan puasa ini, hatinya sayu mengenangkan keletah Adila yang sebelum ini gemar mengajaknya membeli juadah berbuka di bazar Ramadan.
Tambahnya, dia sekeluarga juga tetap mahu membelikan baju raya buat Adila sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Keluarga ini hanya akan ceria sekiranya Adila kembali semula ke pangkuan kami pada pagi raya nanti,” katanya.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang Adila boleh hubungi Zaiton di talian 016-9131631 dan 013- 7029946 atau melaporkannya ke balai polis berhampiran.
















