fbpx

MAG rekod untung bersih sulung sebanyak RM766 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAG optimis untuk mencatat prestasi kewangan pada masa depan berdasarkan trend pemulihan dalam trafik penerbangan.

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Aviation Group (MAG) mencatatkan keuntungan bersih selepas faedah dan cukai (NIAT) buat pertama kali sejak ditubuhkan pada 2015, berjumlah RM766 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Ia merupakan perbezaan ketara sebanyak RM1.1 bilion daripada negatif RM344 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) kali terakhir merekodkan keuntungan pada tahun 2010.

Kumpulan turut merekodkan keuntungan operasi buat tahun kedua berturut-turut sebanyak RM889, meningkat 64 peratus berbanding RM540 juta pada tahun 2022.

Semua segmen perniagaan di seluruh Kumpulan mencatatkan peningkatan tahun ke tahun.

Hasil syarikat penerbangan utamanya, Malaysia Airlines Berhad (MAB) naik 45 peratus berbanding tahun lalu disokong kapasiti lebih tinggi, permintaan kukuh dan fokus kepada segmen penumpang perniagaan.

Kapasiti penumpang berada pada paras 90 peratus berbanding tahun 2019.

 

MAG mempunyai simpanan tunai kukuh berjumlah RM4.3 bilion setakat 31 Disember 2023 serta tidak menerima suntikan modal daripada pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Bhd. sejak Oktober 2021.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Izham Ismail berkata, prestasi kukuh itu disumbangkan oleh trafik penumpang kukuh daripada segmen premium, aliran aktif bagi rangkaian antarabangsa, kapasiti pengurusan komprehensif, kerjasama mendalam dan hasil lebih kukuh untuk segmen penumpang. 

Gambar hiasan

“Kami berbesar hati untuk mengumumkan prestasi ini walaupun berdepan kos operasi dan buruh lebih tinggi, ringgit lemah, cabaran dalam rantaian bekalan disebabkan peningkatan kos dan komitmen penghantaran tidak menentu serta harga bahan api dan kadar faedah yang tinggi,” katanya kepada taklimat prestasi kewangan MAG di sini hari ini.

Menurut Izham, pencapaian tersebut adalah bukti dedikasi tidak berbelah bahagi lebih daripada 12,000 kakitangan yang telah memainkan peranan penting dalam mencapai keputusan yang luar biasa dan memecahkan rekod dalam sejarah organisasi.

“Tahun 2023 menandakan kebangkitan luar biasa dan 2024 dijangka menjadi tahun yang mana kami perlu mengukuhkan kredibiliti Kumpulan.

“Didorong kestabilan kewangan, kami berada pada kedudukan yang baik untuk melabur dalam produk fizikal, meningkatkan penawaran dan melaksanakan strategi pengembangan armada,” ujarnya.

Izham menambah, pihaknya optimis untuk terus merekodkan keuntungan pada tahun kewangan semasa, berdasarkan trend pemulihan trafik penerbangan antarabangsa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI