fbpx
SHAHEIZY SAM

Shaheizy Sam larang anak tengok ‘hasil’ lakonannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALI terakhir beraksi dalam gelanggang drama adalah pada tahun 2010. Sehingga kini, sudah begitu lama masa diambil Shaheizy Sam untuk kembali ke halaman yang pernah menjadi ‘taman permainannya’ suatu ketika dulu.

Bukan tidak sudi apatah lagi menjauhkan diri, tetapi zon selesa bermain filem sedikit menghalang lelaki yang mesra disapa Sam itu berlakon drama. Jadual kerja juga menjadi asbab pilihan ‘berehat’ dari dunia drama terpaksa diputuskan.

Ironinya juga, jika mahu kembali bergelumang di lokasi drama, banyak yang perlu dipertimbangkan pemilik nama penuh Shaheizy Sam Abd. Samad itu.

Drama

Tutur adik kepada pelakon, Zizie Ezzete itu, untuk drama, banyak perubahan telah berlaku, termasuk cara dan waktu bekerja yang dilihat mencabar kudratnya sebagai seorang pelakon.

“Selepas lapan tahun dan kembali ke gelanggang drama, waktu bekerja semua pun sudah berubah. Agak ‘jammed’ (tersekat) namun semua berjalan lancar walaupun saya terpaksa cuba serasikan diri

“Permainan dalam drama pun berbeza daripada filem. Saya terpaksa ubah cara kerja terutama dari aspek energi kerana drama memerlukan tenaga lebih besar,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Sam menyarankan agar waktu bekerja untuk pelakon dan kru produksi dihadkan kepada maksimum 12 jam saja.

Terbuka hati untuk menerima tawaran drama bersiri, Sam juga bersyukur kembali berpeluang bekerja dengan pengarah kegemarannya, Feroz Kader untuk naskhah Takdir Itu Milik Aku.

“Sebenarnya ketika ini saya tengah bersedia untuk sebuah projek filem tetapi selepas melihat tawaran ini dan pengarahnya, saya terima.

“Feroz adalah pengarah kesukaan saya, dahulu pernah bekerja dengannya dan memang seronok,” tuturnya.

Mencecah usia 41 tahun, watak yang dipegangnya dalam drama tersebut ialah adalah Zarif Adha yang bertentangan dengan karakter sebenarnya.

Namun, di sebalik watak tersebut, Sam khuatir sekiranya drama tersebut ditonton anak-anaknya memandangkan dia menjayakan karakter sebagai lelaki panas baran dan tidak beradab.

“Alhamdulillah saya okey untuk jalan ceritanya, menarik tetapi selepas sekian lama, lebih lapan tahun tak buat drama, dapat pula watak begitu.

“Selama ini saya selalu dapat watak lelaki baik, hero dan komedi. Jadi, bila karakter begitu buat saya ‘jammed’ juga. Agak mencabar untuk saya.

“Walaupun sudah tayang beberapa episod, saya pesan kepada isteri agar tak benarkan anak-anak menonton lakonan saya dalam drama tersebut,” ujar suami kepada pelakon, Syatilla Melvin.

Sam sebenarnya risau, takut anak-anak tidak dapat membezakan watak dalam drama dan realiti sebenar. Dia paling bimbang, anak akan terpengaruh dengan sifat negatif si bapa biarpun sekadar lakonan.

“Memang itu sekadar lakonan, tetapi ada kalanya orang dewasa pun akan termakan dengan sesebuah watak, apatah lagi kanak-kanak.

“Adakalanya, sebab sakit hati orang dewasa pun mudah terbawa-bawa, inikan pula kanak-kanak.

MENERUSI drama Takdir Itu Milik Aku, Sam melakonkan watak juruterbang yang panas baran, satu watak yang jauh berbeza dengan dirinya.

“Saya takut watak sebegitu mencetuskan tanggapan negatif terhadap bapa mereka selain boleh melakukan sikap kejam tersebut dalam dunia nyata,” katanya lagi.

Sempat berkongsi caranya mencari emosi untuk karakter tersebut, Sam bersyukur segala-galanya dipermudahkan sepanjang penggambaran.

“Kadang-kadang cari (emosi) dalam laci bilik atau di dapur,” selorohnya bersahaja.

Berkongsi lanjut, dia meletakkan dirinya dalam situasi Zarif serta sentiasa memastikan tidak berlebih-lebih dalam melakukan sebarang adegan seperti babak pukul atau panas baran.

“Sebenarnya saya cari dengan meletakkan diri dalam situasi watak tersebut. Percaya dengan hati, mata dan minda.

“Insya-Allah emosi itu mudah mengalir. Saya berlakon walaupun babak ‘naik hantu’, saya akan pastikan minda saya sentiasa sedar bahawa diri sedang berlakon.

“Semua itu bagi mengelakkan perkara tak diingini berlaku di set penggambaran,” ujarnya lagi.

Selain Shaheizy, drama bersiri arahan Feroz Kader tersebut turut dibarisi Emma Maembong, Liza Abdullah, Jasmin Hamid, Fauziah Nawi, Riz Amin, Shakilla Khoriri dan Radhi Khalid.

Kerja lebih masa

Beralih topik tentang perihal industri hiburan tanah air, Sam teruja dengan isu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan pelaksanaan kontrak standard melibatkan kru, pelakon dan penerbit dengan klausa terperinci berhubung isu kerja lebih masa.

Difahamkan, standard tersebut bertujuan menyelesaikan isu kerja lebih masa dan perkara berbangkit lain berkaitan kebajikan pekerja di belakang tabir.

Pada usia 40-an, Sam juga enggan menempuh pengalaman perit bekerja lebih 20 jam sehari seperti sebelum ini.

Bintang Polis Evo itu bahkan menyarankan, waktu bekerja untuk pelakon dan kru produksi dihadkan maksimum 12 jam sahaja.

“Rasanya kalau ditetapkan 12 jam sehari, masing-masing akan buat kerja dengan lebih efisien dan sistematik.

“Kalau waktu pekerja lain biasanya lapan jam. Mereka masuk pejabat terus bekerja, tapi untuk pelakon dan kru adalah berbeza sebab kami di tempat (berbeza), perlu masa untuk set up banyak benda.

“Sebab itu saya rasa 12 jam sehari sudah memadai untuk semua penggiat seni,” katanya yang popular menerusi filem Adnan Sem-Pit itu.

Sam bagaimanapun menegaskan apa yang disuarakan bukanlah satu bentuk tuntutan peribadi, sebaliknya untuk kesejahteraan semua pihak dalam tempoh bekerja.

“Setiap kali tanda tangan kontrak, saya akan letak syarat iaitu tempoh maksimum bekerja hanya 12 jam sehari.

BIMBANG pengaruh negatif, Sam berpesan kepada isteri agar tidak sesekali membenarkan anak-anak menonton drama lakonan ketika ini.

“Kadang-kadang orang lain rasa ini ‘demand’ semata-mata tetapi perlu ingat, pelakon akan menggunakan mental dan fizikal apabila bekerja. Tenaga diberikan sepenuhnya untuk lakonan.

“Ketiga-tiga faktor ini tidak akan berjalan lancar sekiranya seseorang pelakon itu kepenatan,” tuturnya lagi.

Dalam pada itu, dia yakin penetapan tempoh kerja yang digariskan Finas bertujuan mengelak tenaga pekerja bersikap sambil lewa ketika melaksanakan tugas masing-masing.

“Jika tiada penetapan waktu bekerja, segelintir pekerja adakalanya ambil ringan seperti sengaja melengah-lengahkan tugas yang sepatutnya boleh disiapkan pada hari berkenaan.

“Apabila kerja tidak serius dan komited bekerja, perkara sebegitu yang boleh memanjangkan, sekali gus berisiko berlaku pertambahan tempoh penggambaran.

“Sepatutnya 12 jam boleh diselesaikan tapi berlanjutan 15 hingga 25 jam. Itu semua yang saya sendiri pernah lalui harap akan ada perubahan yang positif untuk industri seni kita,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN