fbpx

Cuaca panas: Belum ada negeri mohon pembenihan awan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK NAZMI pada sidang akhbar di UTeM, Durian Tunggal, Melaka, hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

ALOR GAJAH – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) belum menerima permohonan bagi operasi pembenihan awan daripada negeri-negeri yang terkesan dengan cuaca panas termasuk Perlis dan Kedah.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya bagaimanapun bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bagi melaksanakan proses itu khususnya di kawasan yang mengalami kemerosotan kritikal paras air di sesebuah empangan.

Ujarnya, langkah itu adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya gangguan bekalan air di negeri terlibat.

“Kita lihat keperluan dalam masalah tahap paras air, jika ia berada pada paras yang rendah maka kita akan memantau untuk keperluan melakukan pembenihan awan.

“Tetapi sebagaimana yang saya sebut, ada beberapa faktor yang kita ambil kira sebab kosnya tinggi, bila kita buat operasi pembenihan awan ini kalau boleh biarlah berhasil,” katanya dalam sidang akhbar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal di sini, hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca panas tahap dua iaitu amaran gelombang haba dengan suhu 38 hingga 40 darjah Celsius di Perlis dan Pokok Sena, Kedah hari ini.

Menurut MetMalaysia, jangkaan cuaca panas dan kering dengan suhu 37 hingga 38 darjah Celsius juga dijangka berlaku di sekitar Pahang yang melibatkan Raub, Temerloh dan Bentong. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI